Isu sampah tidak dikutip bukti kegagalan MBKS jalankan tanggungjawab kepada komuniti
KUCHING-- Isu sampah tidak dikutip terus menghantui penduduk di bawah seliaan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) yang terpaksa menghidu udara yang 'nyaman' setiap hari.
Perkara itu ditegaskan Pembantu Khas Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian yang memberitahu keadaan tersebut dialami penduduk di Lorong Ketek 3, Batu 6.
Tegasnya, kerajaan tempatan bertanggungjawab untuk memastikan rakyat mendapat akses kepada persekitaran yang bersih, selamat dan sihat.
"Walau bagaimanapun, adalah mendukacitakan untuk menyaksikan ketidakupayaan MBKS dalam memastikan kebersihan dan keselamatan kawasan kejiranan kita.
"Satu contoh isu pembuangan sampah yang berterusan di Lorong Ketek 3, Batu 6. Masalah ini bukan hanya menyakitkan mata, ia juga menimbulkan risiko yang besar kepada komuniti kita.
"Sampah yang bertimbun mengundang pelbagai risiko, seperti risiko kesihatan, risiko kebakaran dan kesan alam sekitar kerana ia boleh masuk ke dalam sistem perparitan kita dan mengakibatkan banjir kilat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kawasan kejiranan yang selamat dan bersih amat penting dalam memastikan masyarakat dapat menikmati suasana hidup yang lebih selesa.
"Ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Pembuangan sampah adalah salah satu tugas penyelenggaraan yang seharusnya MBKS perlu beri perhatian bagi memastikan kontraktor dilantik menjalankan tanggungjawab dengan betul.
"Justeru, kita mengutuk sekeras-kerasnya pengabaian ini dan menyeru tindakan segera untuk membetulkan keadaan," ujarnya.
Dalam pada sama katanya, MBKS mesti mengambil tindakan segera untuk menangani isu pembuangan sampah di kawasan seliaan majlis itu dan tidak terhad di Lorong Ketek 3, Batu 6.
"MBKS juga perlu mengambil langkah proaktif untuk mengelakkan isu yang sama daripada menjejaskan komuniti kita pada masa hadapan," katanya.