Hutang negara lebih RM1 trilion - Ketua Audit Negara

KUALA LUMPUR— Laporan Audit Negara mendedahkan hutang persekutuan pada akhir 2022 berjumlah RM1.39 trilion.

Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radhi berkata, ia meningkat sebanyak RM94.1 bilion atau 7.2 peratus berbanding RM1.305 trilion pada 2021.

“ Nisbah hutang Persekutuan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pula dicatatkan pada kadar 60.3 peratus.

Katanya, nisbah statutori Hutang Persekutuan yang membabitkan Bil Perbendaharaan Islamik, Terbitan Pelaburan Kerajaan dan Sekuriti Kerajaan Malaysia berjumlah RM1.032 trilion adalah pada nisbah 57.6 peratus kepada KDNK.

“Nisbah ini adalah di bawah had statutori 65 peratus kepada KDNK yang berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2022,” katanya dalam laporan yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Memetik Dagang News, dari segi pendapatan, negara mencatat hasil berjumlah RM294.357 bilion tahun lepas, RM60.605 bilion atau 25.9 peratus lebih daripada tahun sebelumnya.

Beliau berkata, sebanyak 70.9 peratus daripada hasil negara disumbangkan oleh cukai, manakala baki 27.1 peratus adalah hasil bukan cukai.

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan hutang negara termasuk liabiliti kini sudah mencecah hampir RM1.2 trilion.
Next Post Previous Post