Henti jual elektrik kepada Malaya dan Singapura, bawa masuk pelaburan asing, berikan bekalan tenaga hijau kepada SME tempatan, Chong

KUCHING-- Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen meminta Kkerajaan Sarawak menghentikan perancangan untuk menjual elektrik ke Semenanjung Malaysia atau Singapura.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak itu menegaskan, kerajaan Sarawak seharusnya menumpukan usaha bagaimana untuk menarik pelaburan masuk ke negeri ini menggunakan sumber tenaga elektrik. 

"Daripada memikirkan tentang menjual elektrik ke Semenanjung Malaysia atau Singapura, Kerajaan Negeri seharusnya memberi tumpuan kepada cara menggunakan tenaga elektrik untuk menarik pelaburan yang baik ke Sarawak.

"Sarawak dikurniakan tenaga elektrik hidro yang dianggap tenaga bersih dan dalam era semua negara dan syarikat dunia berlumba-lumba mengurangkan pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG), tenaga bersih telah menjadi komoditi yang berharga.

"Banyak syarikat telah menetapkan sasaran pelepasan sifar karbon mereka dalam tempoh 5 hingga 10 tahun lagi. Ini keperluan untuk tenaga bersih," katanya dalam kenyataan hari ini.

Oleh itu, beliau memberitahu, kerajaan Sarawak harus memanfaatkan peluang tersebut untuk menarik pelaburan asing dan juga syarikat Semenanjung Malaysia untuk menubuhkan kilang dan pejabat mereka di Sarawak.

"Walaupun penjualan tenaga bersih ke Semenanjung Malaysia atau Singapura boleh memperoleh harga yang baik, ia tidak akan menjana pembangunan perindustrian dan peluang pekerjaan domestik yang banyak di Sarawak.

"Tambahan pula, apabila syarikat-syarikat di Semenanjung Malaysia atau Singapura memperoleh tenaga bersih mereka sehingga menjadikan produk mereka “hijau” dan lebih mudah dijual, ia secara tidak langsung menimbulkan persaingan lebih tinggi kepada usahawan kita sekali gus menyekat pertumbuhan perindustrian rakyat Sarawak," tegasnya.

Pada masa yang sama Chong berkata, dengan menjual tenaga bersih kepada Semenanjung Malaysia atau Singapura, ia sama seperti Sarawak dalam beberapa dekad yang lalu menjual minyak mentah dan gas ke negara lain. 

"Kita mungkin dapat royalti dan cukai Jualan, tetapi belia kita perlu keluar dari Sarawak untuk mencari pekerjaan yang baik. 

"Kerajaan GPS harus mengambil iktibar dan tidak mengulangi kesilapan yang sama.

"Jika syarikat-syarikat di Semenanjung Malaysia atau Singapura memerlukan tenaga bersih, maka biarkan mereka datang dan menubuhkan loji dan pejabat mereka di Sarawak, bukan membekalkan mereka dengan tenaga bersih yang tidak mewujudkan peluang pekerjaan tambahan kepada rakyat kita," ujarnya.

Walaupun Kerajaan GPS boleh berbangga dengan kerajaan yang mempunyai banyak wang dan menjadi kerajaan negeri terkaya di Malaysia, tambah Chong, pendapatan minimum atau sederhana rakyat Sarawak masih jauh di bawah paras pendapatan purata atau sederhana negara. 

"Ini adalah fenomena yang tidak diingini "kerajaan kaya tetapi orang miskin".

"Oleh itu, saya menyeru kerajaan GPS untuk hentikan rundingan penjualan elektrik ke Semenanjung Malaysia atau Singapura,

"Tarik pelaburan langsung asing yang baik dan bernilai tinggi dan juga pelaburan langsung domestik dengan tenaga bersih kita.

"Berikan tenaga bersih kepada usahawan Sarawak dan PKS sedia ada supaya produk mereka boleh dilabelkan sebagai produk hijau," katanya.
Next Post Previous Post