Harga beras: Umum naik terus meroket, disuruh turun "stok lama"
KUCHING-- Pelik tapi benar. Itulah yang terjadi dengan perkembangan terkini isu harga beras putih import yang masih dijual melebihi harga yang dihadkan iaitu RM31 bagi beras import paket 10 kilogram(kg) di Sarawak.
Sebelum ini, apabila harga beras putih import diumum naik, para peniaga segera menaikkan harga beras tersebut tanpa memberi alasan ia stok lama atau sebagainnya.
Di KUCHING, tinjauan di pasar raya besar termasuk kedai runcit di sekitar bandar raya Kuching dan Kota Samarahan rata-rata masih mengekalkan harga sedia ada iaitu melebihi RM31 yang ditetapkan dan dikuatkuasakan mulai hari ini.
Hal ini kerana peniaga memaklumkan beras putih import yang terdapat di premis mereka adalah stok lama.
"Kalau umum harga naik terus mereka (peniaga) naikkan, kalau umum harga turun tidak pula turunkan segera... Bermacam alasan diberikan, stok lama dan sebagainya," luah seorang pengguna yang enggan dikenali.
Pada Isnin, kerajaan bersetuju untuk memberikan subsidi sebanyak RM950 setiap tan metrik bagi beras putih import (BPI) di Sabah dan Sarawak mulai 5 Oktober ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kaedah itu membolehkan beras putih import dijual dengan harga runcit RM31 bagi setiap 10 kilogram.
Di MIRI, harga beras yang telah disubsidi oleh Kerajaan telah menurun dan dihadkan untuk dijual tidak melebihi RM31.
Perkara itu dinyatakan oleh Ahli Parlimen Miri dari PKR, Chiew Chion Man petang tadi.
"Saya juga telah meninjau harga beras import di pasaran. Harga beras yang telah disubsidi oleh Kerajaan telah menurun dan dihadkan untuk dijual tidak melebihi RM31.
"Terima kasih kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan atas tindakan intervensi melalui subsidi bagi membantu meringakan beban rakyat," katanya.