Hanya orang bahlol dedah strategi 'peperangan'

BINTULU— Dalam dunia ini, cuma Panglima perang yang bahlol mendedahkan strategi untuk mengalahkan musuh. 

Itu mungkin maksud sebenar berbanding jawapan halus digunakan Pengarah Pilihan Raya Gabungan Parti Sarawak (GPS) Jepak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan kepada media yang bertanya soalan pagi tadi.

“Tak payahlah hebah strategi-strategi, dalam peperangan kita tak hebahkan, tapi kita berusaha ya. Kita sedaya-upaya meliputi semua kawasan yang ada di DUN Jepak.

“Calon kita pun calon baru, jadi apa yang kita usahakan ialah untuk memperkenalkan calon kita, walaupun dia anak tempatan mungkin sesetengah pihak belum kenal,” katanya menjawab soalan mengenai strategi GPS dalam tempoh kempen yang tinggal beberapa hari sebelum PRK Jepak berakhir.

Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu ditemui selepas majlis perasmian Kursus Kesedaran Keusahawanan Digital di sini hari ini.

Beliau menambah, jentera GPS kini menumpukan usaha untuk memperkenalkan calon GPS kepada pengundi dan menyampaikan inti pati manifesto yang ditawarkan gabungan itu.

“Kita mahu mesej kita sampai, maklumlah banyak yang diputar belit oleh pihak lawan termasuk dalam media sosial. 

“Kita mahu rakyat faham apa yang ditawarkan dalam manifesto dan menerangkan dasar mengapa pentingnya pengundi memilih GPS sebagai wakil,” katanya.

Semalam, Awang Tengah melancarkan 14 Teras Aku Janji dan komitmen GPS yang mengandungi tawaran pembangunan prasarana serta sosioekonomi buat penduduk di kawasan itu.

Manifesto itu antara lain menawarkan pengiktirafan tanah hak adat bumiputera (NCR), infrastruktur asas jalan raya, pelabuhan dan lapangan terbang, membangunkan bandar satelit Jepak, menyediakan rumah mampu milik, menambah skim penempatan semula dan bantuan pembinaan rumah panjang.

Beliau menegaskan Manifesto GPS ini adalah sangat komprehensif, pragmatik dan realistik, meliputi pelbagai bidang demi menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat dan membangunkan masa depan kawasan Jepak dan Sarawak. 

"Ini ialah komitmen dan tekad kita. Ini bukan omong kosong seperti yang dilakukan oleh calon lawan. 

PRK Jepak kali ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara Iskandar Turkee dari Gabungan Parti Sarawak (Gabungan Parti Sarawak), Stevenson Joseph Sumbang (Parti Bumi Kenyalang) dan Chieng Lea Phing dari Parti Aspirasi.

DUN Jepak mempunyai seramai 22,804 dengan majoriti pengundi adalah Melayu/Melanau.

Pilihan raya kecil itu yang ditetapkan pada 4 Nov ini, diadakan susulan kematian penyandang kerusi Datuk Talib Zulpilip pada 15 Sept lepas.
Next Post Previous Post