Hanya khabar angin Mygaz masih dan kekal beroperasi di Sarawak
KUCHING-- Mygaz Sdn Bhd menafikan khabar angin yang mengatakan tong gas silinder Mygaz akan lupus di Sarawak seperti yang ditularkan seorang wanita dalam hantaran di media sosialnya.
Pengurus Besar Mygaz Malaysia Timur Pakamard Boonsawat dalam kenyataannya memaklumkan produk "Yellow Cylinder Mygaz Brand" masih kekal seperi biasa.
"Kami ingin memaklumkan bahawa syarikat kami masih dan kekal beroperasi seperti biasa untuk membekalkan produk LPG kami kepada pelanggan dan pengguna di Sarawak," tegasnya.
Justeru, dengan pengumuman itu beliau berharap semua pelanggan kekal tenang dan tidak panik.
"Sebagai syarikat LPG di Malaysia yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam pasaran LPG dan dengan produk Gas Silinder Kuning yang terkenal, kami komited dengan tanggungjawab kami sebagai perkhidmatan penting untuk memastikan bekalan LPG berterusan untuk pelanggan kami di Sarawak.
"Bersama-sama dengan pengumuman ini, kami ingin merakamkan rasa terima kasih dan penghargaan atas sokongan dan kesetiaan anda kepada jenama kami," ujarnya.
Terdahulu, seorang wanita mendakwa tong LPG kuning akan luput dan pihak kedai tidak lagi menjual tong gas berkenaan menjelang Oktober ini.