Guna jengkaut keluarkan mangsa tersepit
SRI AMAN— Dua lelaki nyaris maut selepas lori yang dinaiki mereka melanggar penghadang jalan lalu terbalik di flyover Sri Aman - Betong pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 9.14 pagi.
“Bomba menggunakan sebuah jengkaut untuk mengalihkan lori tersebut bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dalam lori membawa muatan simen.
“Bomba kemudian menggunakan Rescue Tool Kit (RTA) untuk mengeluarkan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siasatan awal mendapati lori terbabit dikatakan sedang bergerak menuju ke Betong sebelum terbalik sejurus melanggar penghadang jalan.
Gambar PGO Sarawak