GPS kuat kerana tidak banyak main politik
BINTULU— Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadi parti yang kuat di negara ini kerana tidak banyak main politik.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, sebaliknya usaha lebih banyak ditumpukan untuk mengurus dan membangunkan ekonomi di negeri ini.
“GPS kuat kerana kita sik banyak politiking, kita fokus dalam mentadbir Negeri Sarawak tok sampei banyak kejayaan kita capai.
“Salah satunya ialah rezab terkini Sarawak mencecah RM40 bilion,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Persatuan Melanau malam tadi.
Dalam ucapan yang sama, Fadillah selaku Ketua Whip GPS menyeru sokongan rakyat penting untuk memastikan parti itu menang bergaya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak pada 4 November ini.
Beliau menasihatkan pengundi agar jangan bersikap lewa dan beranggapan GPS dan PBB terlalu kuat dan dijamin akan menang.
“Dalam pilihan raya kita kenak ‘pergi berperang’ kenak ‘turun berperang’ . Kita pastikan parti kita menang, bukan setakat menang, tapi menang dengan bergaya, menang dengan mandat besar.
“Pengundi harus memastikan calon GPS, Iskandar Turkee menang dengan memperoleh majoriti besar.
“Apabila calon GPS menang bergaya, maka suara wakil rakyat Jepak akan didengari di DUN kelak kerana majoritinya adalah besar.
“Malah, saya berjaya menjadi Timbalan Perdana Menteri kerana sokongan rakyat Sarawak yang begitu besar.
“Suara rakyat Sarawak yang begitu kuat menyokong dan membentuk kerajaan negeri sehinggakan kerajaan persekutuan memerlukan Sarawak kerana tanpa Sarawak kerajaan perpaduan tidak akan terbentuk,” katanya.
PRK DUN Jepak menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon GPS dengan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) Chieng Lea Phing.