Enam lelaki miliki pelbagai rekod jenayah ditangkap, cederakan pesakit luar KPJ

KUCHING-- Enam lelaki diberkas kerana mencederakan orang awam di 
kawasan parkir hadapan Hospital KPJ di sini pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, kesemua suspek yang ditangkap semalam sekitar jam 5.50 petang itu mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau melibatkan dadah, jenayah kekerasan dan jenayah komersil.

"Pasukan khas IPD Kuching telah berjaya menyelesaikan dalam tempoh kurang dari 24 jam bagi kes menyerang pesakit luar di kawasan parkir hadapan Hospital KPJ Kuching yang dilaporkan kepada polis pada 1 Oktober 2023 jam 7.04 petang oleh mangsa seorang lelaki warga tempatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, mangsa dalam laporan itu mendakwa telah diserang menggunakan sebilah pisau oleh sekumpulan lelaki sebaik selesai membawa anaknya menerima rawatan di hospital berkenaan. 

"Akibat dari kejadian, mangsa mengalami kecederaan di bahagian 
kepala," kata Ahsmon.

Mengulas lanjut, katanya hasil ujian pemeriksaan air kencing mendapati lima suspek positif dadah jenis 
methamphetamine manakala seorang suspek negatif. 

Tegasnya lagi, permohonan reman telah diluluskan selama empat hari sehingga 7 Oktober 2023.

Menurutnya lagi, kes disiasat di bawah seksyen 324 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh 10 tahun, denda atau sebat atau mana-mana dari dua hukuman itu.
Next Post Previous Post