Empat kali dijanjikan untuk diatasi, MBKS digesa tangani segera masalah hakisan

KUCHING-- Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) digesa menangani segera isu hakisan tanah di kawasan-kawasan di bawah pentadbiran majlis itu.

Pembantu Khas Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam yang telah melaporkan masalah itu sejak awal 2023.

"Sejak awal 2023, pengadu terus-menerus membangkitkan kebimbangan tentang hakisan tanah yang mengancam kediamannya di seliaan bawah MBKS.  

"Longkang awam yang terletak bersebelahan dengan rumahnya, yang terletak di bawah bidang kuasa MBKS, dilanda hakisan tanah, dengan keadaan semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.  

"Walaupun banyak aduan, tiada tindakan pembaikan diambil oleh MBKS," katanya dalam kenyataan hari ini.
 
Tegas Michael, sebagi pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah menjadi tanggungjawab dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan penduduk di bawah seliaan mereka.  

Jelasnya, penyelesaian aduan dan maklum balas penduduk yang tepat pada masanya dan berkesan adalah amat penting.

Mengulas lanjut katanya pengadu terpaksa mengambil tindakan sendiri untuk menyumbat lubang dan cuba menampal longkang berkenaan sebagai langkah keselamatan.

"Tetapi apabila tanah terus terhakis, usahanya ini terbukti tidak mencukupi.  

"Setakat ini, keadaan semakin teruk sehingga pagar di sekeliling rumahnya senget dan boleh tumbang.  

"Selain itu, terdapat lubang besar dan dalam di tepi jalan berhampiran longkang yang terjejas, yang mendatangkan bahaya besar kepada pengguna jalan raya," dedahnya.

Katanya lagi pengadu sering mengajukan itu kepada MBKS dan sudah empat kali secara peribadi menerima jaminan masalah tersebut akan diatasi.

"Malangnya, masih belum ada sesiapa dari MBKS yang berkunjung ke kawasan itu untuk menilai masalah tersebut.

"Walaupun MBKS menggalakkan orang ramai melaporkan masalah dan isu, tindakan yang jelas menimbulkan kebimbangan.  

"MBKS, yang dipimpin Datuk Bandar Datuk Wee Hong Seng perlu mengambil langkah segera dan tegas untuk menyelesaikan masalah hakisan tanah yang berterusan.

"Adalah menjadi kepercayaan kami bahawa pihak berkuasa tempatan harus mengutamakan kebajikan masyarakat dan bertindak terhadap aduan dengan segera.  

"Sekiranya kepimpinan MBKS sekarang tidak dapat menangani isu-isu ini dengan berkesan, mungkin sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan pelantikan alternatif yang boleh memberikan penyelesaian proaktif yang diperlukan oleh orang ramai," ujarnya.
Next Post Previous Post