Dua beranak tokan dadah ditahan

Dadah disyaki jenis syabu seberat 287.5 gram dirampas daripada dua suspek di Tudan pada Selasa. JSJN IPK Sarawak

MIRI— Polis Miri menumpaskan sindiket pengedaran dadah didalangi dua beranak menerusi serbuan di sebuah kawasan perumahan di Tudan, pagi Selasa.

Dalam serbuan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dibantu Ibu Pejabat Polis (IPD) Miri telah merampas dadah jenis syabu seberat 287.50 gram dengan nilai RM57,500.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner (ACP) Alexson Naga Chabu berkata, dalam serbuan itu polis menahan seorang ibu berusia 60-an dan anak lelakinya berusia 39 tahun, kedua-duanya warga tempatan.

“Dalam serbuan sekitar jam 8.30 pagi itu, polis merampas satu kotak berwarna putih kebiruan dan dua beg plastik hitam yang mengandungi plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki syabu.

“Hasil daripada tangkapan polis turut menyita sebuah motosikal jenama Benelli dan aset milik kedua-dua suspek dan wang tunai RM88,478.

“Nilai keseluruhan barang kes dan sitaan mencecah RM145,978,” kata Alexson dalam kenyataan semalam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. 
Next Post Previous Post