Ditahan ketika leka sabung ayam

SRI AMAN— Tujuh lelaki termasuk seorang warga emas 82 tahun yang leka menyabung di kebun sawit Jalan Melugu Skim, di sini tidak sempat melarikan diri apabila ditahan polis semalam.

Kesemua lelaki tempatan berusia 37 hingga 82 itu ditahan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman dalam serbuan Op Dadu kes perjudian sabung ayam pada 3.20 petang.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mathew Manggie berkata, semasa serbuan polis merampas beberapa barang-barang dan peralatan yang disyaki digunakan dalam kegiatan judi sabung ayam di tempat tersebut.

“Kesemua barangan dan suspek dibawa ke IPD Sri Aman untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 73(1)(g) Ordinan Veterinar Kesihatan Awam 1999, membawa kepada hukuman denda tidak melebihi RM2,000.00 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Polis memberi peringatan kepada masyarakat awam agar sentiasa patuh kepada arahan oleh pihak berkuasa dan meminta supaya tidak terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang negara.
Next Post Previous Post