Diskaun bil elektrik hingga 25 peratus kepada 700,000 pengguna seluruh Sarawak

KUCHING—Kerajaan Sarawak menyambung diskaun bil elektrik bulanan menerusi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) bermula 1 Julai lalu sehingga 31 Disember 2023.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, Kerajaan Sarawak membelanjakan sekitar RM1.15 bilion untuk inisiatif ini sejak mula diperkenal 1 April 2020 hingga 30 Jun 2023.

Katanya, diskaun bil elektrik bulanan itu sehingga 25 peratus bagi pengguna domestik, 15 peratus bagi peniaga kecil komersil dan 10 peratus bagi peniaga kecil industri.

"Bantuan khas diskaun bil elektrik ini akan memberi manfaat kepada 700,000 pengguna di seluruh Sarawak," katanya di sidang media BKSS di Menara LCDA, The Isthmus Off Jalan Bako di sini, hari ini.

Julaihi berkata, sambungan diskaun dalam tempoh sehingga hujung tahun ini dianggarkan bernilai RM123 juta untuk pengguna domestik dan RM80.7 juta untuk peniaga kecil. Jumlah keseluruhan dijangka membabitkan kos RM203.7 juta akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.

Beliau menjelaskan, bagi pengguna domestik, penggunaan elektrik Julai hingga Oktober 2023, diskaun akan dimasukkan dalam bil Disember 2023 manakala penggunaan elektrik November dan Disember 2023 pula, diskaun akan dimasukkan masing-masing dalam bil November dan Disember 2023 serta Januari 2024.

"Pasukan petugas khas Sarawak Energy Berhad (SEB) akan membuat penyelarasan dan pengiraan bil sewajarnya agar pelanggan dapat menerima diskaun mereka bermula dari Julai tahun ini,"katanya.

Julaihi berkata, peniaga kecil seperti bengkel, kopitiam, rumah kedai, restoran dan gerai penjaja pula boleh memohon diskaun bil bulanan mereka dengan mengemukakan permohonan kepada SEB sehingga 31 Disember 2023.

Menurutnya kelayakan diskaun ini adalah bergantung kepada penggunaan elektrik tidak melebihi 3,000kWj untuk tempoh daripada 1 Julai hingga 31 Disember 2023 dan terhad kepada pengguna kategori tarif C1(peniaga kecil biasa) dan 11( industri biasa).

"Maksudnya 5,000 kWj sebulan secara purata. Had (capping) adalah 30,000 kWj untuk jangka masa 6 bulan,"tambahnya.

Julaihi berkata, pelanggan yang menerima bil elektrik berdasarkan anggaran adalah digalakkan menghubungi SEB untuk membuat penyelarasan bil agar dapat menikmati nilai diskaun yang sepatutnya.

Katanya, pelanggan perlu menyediakan dokumen sokongan seperti gambar bil anggaran dan bacaan meter sebenar dan permohonan boleh dilakukan melalui fungsi 'Make a Report' di SEB Cares, melalui panggilan telefon kepada Khidmat Pelanggan Sarawak Energy di 1300-88-3111, emel kepada customercare@sarawakenergy.com atau berkunjung terus ke Kaunter Khidmat Pelanggan Sarawak Energy.

"Setelah menerima permohonan tersebut, Sarawak Energy akan membuat penyelarasan bil agar diskaun diberikan berdasarkan pengunaan elektrik sebenar,"katanya.

Sumber Jiwa Bakti
Next Post Previous Post