Dijanjikan keuntungan 100%, suri rumah rugi lebih setengah juta

SARIKEI-- Terpedaya dengan janji keuntungan 100 peratus, seorang suri rumah warga emas mengalami kerugian lebih setengah juta akibat penipuan pelaburan tidak wujud di Sarikei.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak menerima laporan berhubung kes itu pada 26 Oktober lalu.

"Mangsa seorang perempuan berusia lewat 60-an yang merupakan seorang suri rumah di daerah Sarikei.

"Pada 2 Oktober 2023 semasa berada Sarikei, mangsa telah telah melihat satu iklan di Facebook iaitu
BursaMalaysaa dan telah berhubung dengan suspek dikenali dengan panggilan "Koon Yew Yin" melalui aplikasi Whatsapp.

"Mangsa berminat untuk belajar mengenai saham dan telah menekan satu link https://lfmstock.com yang diberikan oleh suspek untuk mangsa membuat pelaburan saham," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, mangsa kemudian diterangkan tentang pelaburan tersebut dan suspek menawarkan diri sebagai ejen untuk membantu mangsa dalam pembelian saham syarikat di Bursa Saham iaitu saham syarikat Minox International Group Bhd dan saham syarikat SSF Home Group Bhd.

Jelasnya lagi, mangsa telah dijanjikan pulangan dari 50 peratus sehingga 100 peratus dalam pelaburan saham ini. 

Berikutan itu, kata Azman, mangsa yang berminat, kemudian telah membuat 11 kali transaksi pindahan wang sebanyak lebih kurang RM540,000 secara berperingkat kepada tiga akaun bank yang berbeza bermula dari awal bulan Oktober 2023 sehingga pertengahan bulan Oktober
2023. 

Bagaimanapun, katanya, mangsa sedar telah ditipu apabila suspek meminta mangsa untuk membuat pembayaran tambahan sedangkan mangsa masih belum lagi menerima apa-apa pulangan keuntungan.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya hanya melabur di platform yang betul dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti
Malaysia sahaja.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat kewangan dari ejen yang berdaftar sahaja tentang sesuatu pelaburan.

"Jangan sesekali menekan pautan atau memuat turun android package kit (apk) yang tidak diketahui kesahihannya," ujarnya.
Next Post Previous Post