Daro kecapi nikmat kemakmuran Sarawak
DARO--Ratusan penduduk di sini memeriahkan sambutan Hari Sukan Negara peringkat Bahagian Mukah sejak awal pagi.
Antara aktiviti sukan termasuk senamrobik, fulsal, E-Sport, sukaneka, bola jaring dan cabutan bertuah.
ADUN Daro, Safiee Ahmad menzahirkan terima kasih kerana memilih Daro sebagai lokasi sambutan Hari Sukan Negara pada tahun ini.
Katanya, sambutan ini dilakukan secara serentak di seluruh negara di pelbagai peringkat bermula dari kampung hingga ke peringkat negara.
"Acara sukan memberikan pelbagai kebaikan kepada kesihatan tubuh badan dan mental kita. Kemajuan teknologi menyebabkan manusia semakin pasif dan kurang bersenam menyebabkan timbulnya pelbagai penyakit," katanya.
Safiee berkata, daerah Daro mempunyai fasiliti sukan yang hampir mencukupi dengan adanya kemudahan kompleks sukan, dewan, padang dan pelbagai fasiliti lain.
Berdasarkan kajian, hanya 40 peratus rakyat Malaysia melakukan aktiviti sukan.
"Aktiviti sukan ini juga secara tidak langsung boleh mengeratkan hubungan silaturrahim antara pelbagai kaum dan pelbagai peringkat umur," ujarnya.
Kredit Gambar Jiwa Bakti