Dana Kekayaan Berdaulat tidak diganggu dalam tempoh 20 tahun, Abang Johari

Premier Sarawak ketika ditemui media selepas menerima kunjungan hormat daripada Penjaga Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak.

KUCHING-- Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak disimpan untuk jangka masa panjang sehingga 20 tahun, hanya digunakan jika berlaku peperangan atau krisis .

Premier Sarawak itu berkata, beliau yakin dengan sejumlah RM8 bilion yang disimpan di institusi kewangan yang kukuh, dana itu akan terus berkembang baik tanpa diusik bagi tempoh 20 tahun.

Katanya,sebagai permulaan Kerajaan Sarawak melaburkan dana berjumlah RM8 bilion hasil pendapatan negeri.

“Kita tidak akan mengeluarkan dana ini dalam tempoh 20 tahun melainkan negeri ini menghadapi krisis seperti peperangan ataupun krisis yang memerlukan kita mengeluarkan dana tersebut.

"Ia akan disimpan untuk dipantau dan diuruskan oleh penjaga dana tersebut berdasarkan Prinsip Santiago. Pertumbuhannya akan terus bertambah kukuh, seperti Dana Kekayaan Berdaulat Norway," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan daripada Penjaga Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Ahad.

Kunjungan hormat tersebut diketuai oleh Pengerusi Lembaga Penjaga Urus Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie bersama ahli-ahli lembaga tertinggi yang lain.

Beliau berkata, jawatankuasa risiko akan menilai potensi risiko sebelum pelaburan dibuat, dengan mengambil kira keadaan pasaran dan strategi pelaburan.

“Kita akan sediakan laporan tahunan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN), bermakna kita bertanggungjawab kepada DUN," katanya.

Abang Johari berkata, selain itu Sarawak akan terus melabur di dalam institusi kewangan negeri tersebut sekiranya mempunyai pendapatan yang lebih pada masa hadapan bagi memastikan kemampanan ekonomi dan simpanan negeri ini.

“Insya Allah ekonomi Sarawak akan lebih mantap dan kita akan mempunyai pendapatan yang mungkin berlebihan yang akan dilabur dan disimpan dalam institusi kewangan yang kukuh demi masa depan anak Sarawak,” tambahnya.

Beliau turut memberitahu bahawa Sarawak akan menjadi ahli kepada Forum Dana Berdaulat London iaitu sebuah institusi antarabangsa yang memantau dana-dana berdaulat.

Gambar ihsan UKAS
Next Post Previous Post