Curtin Malaysia terbit dokumentari kehidupan Penan di Long Menging, Baram
MIRI— Dua pensyarah dari Universiti Curtin Malaysia (Curtin Malaysia) sanggup meredah arus Sungai Tutoh untuk menghasilkan dokumentari mengenai kaum Penan di Long Menging di Baram.
Dokumentari itu mengisahkan peralihan kaum itu, daripada gaya hidup nomad dan separa nomad sehinggalah cara hidup menetap, menurut Curtin Malaysia dalam kenyataan hari ini.
Projek itu dijayakan oleh dua dua pensyarah media dari Sekolah Pra-Universiti dan Pendidikan Berterusan (SPACE) Curtin Malaysia, Peter Jamba dan Hanley Fong.
Peter berkata mereka menemu bual ketua masyarakat untuk berkongsi pengalaman yang ditempuhi sehingga mereka mencapai perubahan dari hidup berpindah randah sehingga sekarang.
“Mereka memberikan pandangan yang begitu berharga untuk membetulkan stereotaip atau persepsi yang kurang tepat dalam media.
“Pada masa yang sama, projek ini membantu mendokumentasikan kekayaan, sejarah, budaya serta gaya hidup mereka,” katanya menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pensyarah itu menghabiskan enam hari di Long Menging, yang terletak kira-kira enam jam melalui jalan darat dari Miri, untuk membuat penggambaran dokumentari mengenai masyarakat Penan di sana.
Perjalanan mereka ke Long Menging amat mencabar kerana pembinaan semula jambatan Tutoh yang berterusan, memerlukan menyeberangi sungai untuk sampai ke destinasi.
Semasa di sana, mereka berpeluang menyertai Festival Penan yang turut dihadiri oleh penduduk Penan dari Ba Presek, Long Tarum, Long Seliang, Long Balau, dan Ba Marong.
“Kami juga berpeluang masuk ke dalam hutan dan mengenali beberapa herba untuk perubatan.
"Ini hanyalah permulaan. Kami merancang untuk kembali pada Pesta Penan Ogos tahun depan. Kami berharap usaha ini dapat membantu mereka mendokumentasikan budaya untuk tatapan generasi akan datang,” kata Peter.
Projek ini turut dijayakan dengan kerjasama Jaringan Pemerkasaan Penan Baram (Pena).
Gambar kredit Curtin Malaysia