Cat tembok ‘Mak Kau Hijau’ disiasat polis
MUKAH— Keindahan lukisan mural yang menghiasi tembok di tapak pesta kaul di sini ‘lesap’ selepas pihak tidak bertanggungjawab merosakkan tarikan itu dengan mengecatnya warna hijau, Isnin lalu.
Salah seorang pelukis mural, Mikee Rona berkata, mereka masih tidak mengetahui motif lukisan mural itu diganti dengan cat minyak warna hijau.
“Menurut saksi, ada sesorang individu mengecat tembok tersebut sekitar jam 3 hingga 4 petang. Namun mereka membiarkan kerana menyangka ia atas arahan pihak berwajib memandangkan pesta makanan bakal diadakan di tapak tersebut.
“Namun apabila diperiksa, saya difahamkan tiada arahan dari pihak Majlis Daerah Dalat dan Mukah atau Parlimen Mukah untuk mengecat baru tembok tersebut.
“Mungkin perbuatan khianat atau boikot. Apapun laporan polis sudah dibuat dan kami masih menunggu siasatan,” katanya ketika dihubungi Borneo Network.
Menurut Mike, sekiranya ia perbuatan khianat beliau kesal kerana projek itu mengambil masa sebulan tanpa mengira siang atau malam untuk disiapkan.
“Projek mural ini di bawah Ahli Parlimen Mukah Datuk Hanifah Hajar Taib yang bermula pada November 2020. Terdapat tiga tembok dan setiap orang ditugaskan untuk mengecat satu tembok.
“Memerah otak cari idea bukan benda senang. Belum lagi kena ribut, panas tu tak payah cerita la, tepi pantai tu. Belum lagi kejar khemah yg berguling-guling macam alien sebab angin kuat. Kadang-kadang kerja tergendala sebab hujan sebelah petang, sambung lagi waktu malam,” katanya sedih.