Beras putih import di Sarawak ditetapkan RM31 bagi setiap 10kg
PETALING JAYA— Harga runcit beras putih import di Sarawak ditetapkan pada RM31 bagi setiap 10 kilogram mulai 5 Oktober, kata Datuk Seri Mohamad Sabu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, harga ini ditetapkan selepas kerajaan bersetuju memberikan subsidi sebanyak RM950 setiap tan metrik bagi beras putih import (BPI) di Sarawak.
“Langkah ini diambil memandangkan pengeluaran beras putih tempatan di kedua-dua negeri itu adalah terlalu terhad
“Kaedah itu membolehkan beras putih import dijual dengan harga runcit RM31 bagi setiap 10 kilogram.
“Justeru, kerajaan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati menukar kampit atau mencampur beras putih tempatan dan import atau menyorokkan beras putih tempatan,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.
Sementara itu beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju empat langkah intervensi tambahan dilaksanakan bagi menangani isu bekalan beras dalam negara.
Katanya, langkah itu termasuk mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) meningkatkan pengedaran beras putih tempatan ke kawasan luar bandar termasuk di kedai-kedai runcit.
Tambahnya, memandangkan margin jualan beras putih tempatan hanya 50 sen bagi kampit beras 10 kilogram (kg), kerajaan akan menyalurkan kos pengangkutan kepada FAMA.
Mohamad berkata langkah intervensi itu dipersetujui Perdana Menteri dalam pertemuan yang diadakan bersama beliau hari ini.