Bayi 8 bulan maut tertinggal dalam kereta dari pagi hingga petang
KUALA LUMPUR— Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan meninggal dunia selepas 10 jam ditinggalkan di dalam kereta oleh ibunya di tempat letak kereta di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Cheras, ibu negara.
Menurut sumber, ibu mangsa yang juga seorang doktor tiba di hospital itu untuk bekerja dan tidak menyedari dia meninggalkan kanak-kanak itu, sehingga pukul 5.30 petang.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, berkata siasatan awal mendapati pada jam 7.20 pagi, ibu mangsa meletakkan bayinya di tempat duduk belakang penumpang sebelah kiri dalam kereta untuk dihantar ke TASKA.
Bagaimanapun, ibu mangsa terus memandu keretanya ke tempat kerja dengan anggapan mangsa sudah dihantar ke TASKA.
“Ibu mangsa hanya menyedari bayi itu masih berada di dalam kereta pada petang hari sama selepas dimaklumkan oleh suaminya sekitar jam 5.30 petang bahawa mangsa tidak dihantar ke TASKA.
“Wanita itu terus pergi ke tempat letak kenderaan iaitu lokasi keretanya diletakkan. Dia mendapati anaknya berada di kerusi bayi bahagian belakang dalam keadaan tidak bermaya,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu memetik Astro Awani, bapa mangsa tiba di lokasi parkir kereta, dia mendapati isterinya sedang memberikan bantuan pernafasan (CPR) kepada anaknya dan meminta isterinya membawa mangsa ke wad kecemasan untuk tindakan lanjut pada 5.35 petang
“Bantuan pernafasan telah dilakukan selama enam minit tetapi mangsa tidak menunjukkan sebarang tindak balas dan tanda-tanda hayat.
"Bayi itu telah disahkan meninggal dunia dan bedah siasat akan dilakukan untuk menentukan punca kematian," katanya.
Sumber itu memberitahu siasatan awal mendapati berlaku kecuaian dalam kes tersebut.
Sehubungan itu, kes berkenaan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.