Bayaran balik PTPTN melalui potongan gaji praktikal, Fadillah
PUTRAJAYA—Cadangan untuk untuk memperkenalkan kaedah pembayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui pemotongan gaji secara automatik dilihat sebagai satu cadangan praktikal dan tidak membebankan peminjam, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kaedah yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC) itu berdasarkan Income Contingent Loan (ICL) yang akan dilaksanakan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Perkara ini menjadi antara cabaran terbesar kerajaan bagi menjamin pendidikan secara berterusan, sekali gus membolehkan lebih ramai rakyat yang berdepan kesukaran dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Namun, dengan kadar bayaran balik pinjaman yang amat rendah, kita bimbang dengan kelestarian PTPTN untuk jangka masa panjang. Sehingga Mei 2023, jumlah pinjaman yang belum dibayar berjumlah RM66.9 bilion.
“Jumlah ini sekiranya dibayar, boleh membiayai kira-kira 2.5 juta orang pelajar baharu,” katanya pada Majlis Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di sini, hari ini.
Katanya, pemberian insentif kepada individu dan majikan yang membuat pembayaran balik akan menggalakkan lebih ramai peminjam melaksanakan tanggungjawab sivik mereka kepada anak bangsa yang ingin menyambung pengajian tetapi tidak berkemampuan.
Sebelum ini, Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC) mencadangkan kaedah ICL ini diperkenalkan bagi pembayaran balik pinjaman PTPTN.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024 bersetuju untuk memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 14 Oktober 2023 sehingga 31 Mac 2024.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, diskaun sebanyak 10 peratus akan diberikan ke atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman, selain memberikan 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.
Selain itu, diskaun 15 peratus diberikan untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual.