Bagaikan tempat terbiar, medan selera dihurung lalat
KUCHING-- Orang awam meminta Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) memantau keadaan medan selera di pusat beli belah di Samariang yang terletak di hadapan pejabat DBKU di sini.
Hal ini susulan keadaan di medan selera di situ kotor dan "bersepah" selain kehadiran lalat yang banyak.
Masalah itu turut dikongsikan orang ramai di media sosial Facebook yang menyiarkan gambar meja di medan selera berkenaan yang penuh dengan pinggan dan gelas yang telah dipakai.
Jelas orang ramai, pinggan dan gelas tersebut dibiarkan begitu sahaja hingga menyebabkan ia dikerumuni lalat.
Tambah mereka, keadaan itu juga menyebabkan pelanggan yang hendak menjamu selera di situ terpaksa membatalkan hasrat mereka.
Malah, ada juga pelanggan terpaksa membersihkan sendiri meja di medan selera berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai meminta DBKU mengambil tindakan sewajarnya.