Anak Sarawak terjerat pekerjaan lumayan di Amsterdam
SEPANG— Ditawarkan pekerjaan di sektor perhotelan dan kasino dengan gaji lumayan, tiket kapal terbang percuma, penginapan serta makan minum percuma membuatkan ramai Anak Sarawak kelabu mata.
Namun keghairahan kumpulan 43 belia tempatan termasuk dari Sarawak untuk bekerja di Amsterdam menjerat mereka sendiri apabila dilarikan ke Peru oleh sindiket pemerdagangan manusia.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, mangsa berusia di antara 18 hingga 30-an dan berasal dari Selangor, Sarawak, Johor, Kedah, Sabah serta Kuala Lumpur.
"Taktik licik sindiket adalah menawarkan pekerjaan di sektor perhotelan dan kasino dengan gaji lumayan mencecah RM7000 sebulan menerusi media sosial.
"Mangsa ini yang tertarik dengan tawaran iklan kerja luar negara di media sosial. Ada antara mereka ditawarkan bekerja sebagai pelayan di hotel, tukang masak dan bekerja di kasino di Amsterdam tetapi dibawa ke Peru.
“Mereka diterbangkan dari Kuala Lumpur pada 29 September lalu melalui Amsterdam, Belanda dan terus ke Peru. Mereka tak tahu mereka dibawa dan bekerja di Peru. Mereka difahamkan bekerja di Amsterdam sahaja, rupanya tiba ke Peru,” katanya dalam sidang media bersama tiga mangsa tersebut di KLIA di sini, pada Khamis.
Kementerian Luar sebelum ini memaklumkan, seramai 43 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket Macau Scam berjaya diselamatkan polis Republik Peru dalam serbuan di rumah di La Molina, Lima pada 7 Oktober lalu.
Beliau bersyukur kerana dapat menyelamatkan semua mangsa berkenaan dalam masa yang singkat dengan kerjasama pelbagai pihak di negara ini dan di Peru.
Mohamad menambah, ini adalah kes pertama yang dilaporkan membabitkan rakyat Malaysia dibawa ke Peru oleh sindiket penipuan, yang sebelum ini membabitkan rakyat Malaysia dilarikan ke Laos, Kemboja, Myanmar dan Filipina.
“Kedutaan Besar Malaysia di Lima akan menyelaras urusan penghantaran pulang baki seramai 37 mangsa lain yang dijadual tiba di tanah air secara berkumpulan pada 28, 29, 30 Oktober dan 1 November ini.
“Tiga mangsa masih ditahan pihak berkuasa Peru untuk proses siasatan lanjut berdasarkan undang-undang tempatan,” katanya sambil
meminta ahli keluarga tidak bimbang kerana kesemua mangsa terbabit dalam keadaan selamat.
Dalam kenyataan berasingan pada 10 Okt, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata kesemua mangsa terdiri daripada 26 wanita dan 17 lelaki, akan diambil keterangan sebaik tiba di tanah air bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh Bahagian D3 Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSPOM) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.