Ambil alih MyAirline hanya khabar angin, kata Abang Johari
KUCHING-- Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menafikan khabar angin yang mengatakan Sarawak akan mengambil alih syarikat penerbangan MYAirline Sdn Bhd yang mengalami krisis kewangan ketika ini.
Beliau ketika ditemui pemberita pada majlis peluncuran kilang baharu milik Taiyo Yuden di Taman Perindustrian Sama Jaya berkata, kerajaan Sarawak tiada perancangan mengenai perkara tersebut.
Tambahnya, apa yang menjadi tumpuan ketika ini adalah untuk Sarawak mengambil alih syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd (MASwings).
"Tidak adalah (mengambil alih MyAirline) ia hanya khabar angin. Anak saya hanya pergi menghadiri ke satu dialog. Kesian anak saya sukar berjalan kerana digosipkan perkara sebegini.
"Kita hanya berbincang untuk mengambil alih MASwings dan masih di peringat perbincangan dan menunggu ia diputuskan," katanya.
Difahamkan, perbincangan kerajaan Sarawak dengan Khazanah Nasional Berhad untuk mengambil alih MASwings berjalan lancar dan dijangka mencapai keputusan tidak lama lagi.
Terdahulu MYAirline dalam kenyataannya hari ini memaklumkan syarikat penerbangan itu menggantung operasinya berkuat kuasa hari ini sehingga diberitahu kelak berikutan tekanan kewangan yang ketara.
Jelasnya keputusan itu diambil berikutan tekanan kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan dan permodalan semula pemegang saham syarikat penerbangan itu.
“Kami amat kesal dan memohon maaf kerana terpaksa membuat keputusan ini kerana kami memahami kesannya terhadap penumpang setia, pekerja yang berdedikasi dan rakan kongsi kami.
“Kami telah berusaha tanpa jemu untuk meneroka pelbagai pilihan perkongsian dan penjanaan modal untuk mengelakkan penggantungan ini. Malangnya, kekangan masa menyebabkan kami tiada pilihan selain mengambil keputusan ini,” kata lembaga pengarahnya.
Bagaimanapun MYAirline akan terus komited untuk membantu mereka yang terjejas menghadapi situasi tersebut dan menasihati penumpang yang terkesan supaya tidak pergi ke lapangan terbang dan mencari pengaturan perjalanan alternatif ke destinasi mereka.