Abang Johari yakin Iskandar Turkee mampu pikul tanggungjawab untuk rakyat Jepak

BINTULU-- Premier Sarawak selaku Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg penuh yakin calon yang dipertaruhkan gabungan itu, Iskandar Turkee mampu memberi khidmat terbaik untuk rakyat di DUN Jepak.

Jelas Presiden PBB itu, keyakinan tersebut susulan latar belakang Iskandar yang mana ahli keluarganya sebelum ini banyak berkhidmat dengan masyarakat.

Malah kata Abang Johari datuk beliau (Iskandar) iaitu Penghulu Hamzah pernah menjadi penghulu di kawasan tersebut. 

"Selepas kita pertimbangkan cadangan parti-parti kita di Jepak calon-calon yang berpotensi yang boleh meneruskan perjuangan PBB di Jepak, maka kita perlu meletakkan satu calon untuk membawa bendera PBB dan GPS.

"Calon kita (PBB-GPS) adalah Iskandar Turkee, seorang anak jati dari sini dan merupakan bekas pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak)," katanya pada sidang media semasa pengumuman calon GPS untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Jepak di sini hari ini.

Jelas Abang Johari, Iskandar mempunyai potensi yang mampu meneruskan perjuangan Allahyarham Datuk Talib Zulpilip di kawasan tersebut.

Mengulas lanjut, katanya, Iskandar merupakan pemegang Ijazah Sarjana dari Universiti Putra Malaysia (UPM) mempunyai banyak pengalaman bersama orang muda untuk membentuk golongan baik dan seterusnya terlibat dalam pembangunan sosial.

Tambahnya, selain dapat membangunkan Jepak secara fizikal, Iskandar juga mampu membawa pembangunan perpaduan antara orang Melayu, Vaie, Melanau, Iban yang ramai di kawasan Jepak.

Menurutnya lagi, Iskandar juga pandai berbahasa Iban memandangkan beliau berdarah campuran iaitu emaknya orang Iban dan bapanya Vaie.

"Ini yang kita panggil sebagai generasi hibrid di Jepak, yang juga dikatakan sebagai pintar dan kita berharap Iskandar akan dapat memberikan khidmatnya kepada orang Jepak.

"Tetapi yang penting membantu dalam menggerakkan pembangunan di Bintulu bersama-sama dalam satu barisan untuk memimpin serta berjuang di kawasan Bintulu," ujarnya.

Tegas Abang Johari kerajaan Sarawak mempunyai 'jeneral-jeneral' yang kuat untuk meneruskan pembangunan di kawasan Bintulu. 

"Banyak lagi rancangan kita untuk membangunkan Bintulu sebagai kawasan perindustrian terkemuka di Malaysia dan inilah harapan kita," katanya.
Next Post Previous Post