Abang Jo beri taklimat kepada Menteri Besar, Ketua Menteri

 
PUTRAJAYA— Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan taklimat berkaitan pencapaian pembangunan Sarawak sejak 60 tahun lalu pada Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke 141 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, petang tadi.
 
Taklimat itu berkaitan perlaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 Sarawak, status Sarawak berpendapatan tinggi dan inisiatif pembangunan tenaga boleh diperbaharui.

Mesyuarat selama dua setengah jam itu bermula pada jam 2 petang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 



Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Pada 16 September lalu semasa mesyuarat di Kuching sempena sambutan Hari Malaysia, Anwar mendengar taklimat mengenai pembangunan Sarawak disampaikan Abang Johari.

Abang Johari memaklumkan kepada Anwar dan menteri-menteri kabinet persekutuan yang hadir bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak sudah tumbuh 20 kali ganda pada 2022 ketimbang 60 tahun yang lalu.

Anwar yang kagum pencapaian ekonomi Sarawak yang disifatkan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai mendahului negeri-negeri lain terutama dari segi pembangunan ekonomi hijau, kemudian mempelawa Abang Johari untuk memberikan taklimat di Putrajaya.

Perdana Menteri itu turut memuji Sarawak berkaitan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 dengan menyatakan negeri lain patut mencontohi inisiatif berkenaan.

 Sarawak memperuntukkan RM63 bilion untuk melaksanakan inisiatif berjiwa rakyat itu di bawah fasa pertama PCDS 2030.
Next Post Previous Post