5 lelaki ditahan, bergaduh warga emas maut dilanggar

SIBU—Lima lelaki ditahan kerana terlibat dalam pergaduhan bersenjata hingga menyebabkan seorang warga emas maut dilanggar salah sebuah kenderaan suspek ketika aksi kejar mengejar di Jalan Alan, di sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, kelima-lima suspek warga tempatan berusia dalam lingkungan 17 tahun hingga 30 tahun ditahan ketika sedang bergaduh di Lorong Wong King Hou semalam selepas menerima laporan pada jam 6.45 pagi.

Katanya, bertindak atas maklumat awam, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu telah ke tempat kejadian.

“Polis kemudiannya membuat tangkapan ke atas semua suspek dan membuat rampasan terhadap dua buah kenderaan iaitu jenis Toyota Lexus dan Perodua Alza.

“Polis turut merampas senjata yang digunakan seperti dua bilah senjata jenis Kwantao dan sebatang rotan. Semua suspek dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Sentral Sibu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Zulkipli menambah, siasatan awal mendapati pergaduhan disebabkan masalah hutang di antara kedua-dua pihak.

“Sebelum berlaku pergaduhan, telah berlakunya aksi kejar mengejar di antara dua buah kenderaan yang dinaiki suspek. 

“Akibat daripada itu, salah sebuah kenderaan suspek telah melanggar seorang penunggang motosikal menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal lelaki tempatan berusia 71 tahun. 

“Kesemua suspek telah ditahan reman polis selama tiga hari sehingga 27 Oktober ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua saspek postif dadah jenis Amphetamine, Methamphetamine,
Ketamin, Benzo dan MOP.

Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata dan jika disabitkan kesalahan boleh pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai lima tahun atau kedua-duanya. 

Bagi kesalahan kemalangan dan meyebabkan kematian, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM 20,000.00 dan tidak lebih daripada RM 50,000.
Next Post Previous Post