353 titik panas di Kalimantan punca jerebu di Sarawak
KUALA LUMPUR— Kawasan Kuching, Serian dan Samarahan dijangka menghadapi jerebu berikutan sejumlah 353 titik panas dikesan di Kalimantan, Indonesia.
Ketua Pengarah Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, Output Model HYSPLIT menunjukkan ramalan trajektori jerebu bagi tempoh 72 jam bermula jam 0000 UTC (8 pagi) 30 September 2023 sehingga jam 0000 UTC (8 pagi) 3 Oktober 2023.
"Trajektori asap jerebu dari Kalimantan dijangka memberikan kesan jerebu kepada Kuching, Serian dan Samarahan pada pertengahan tempoh ramalan,"
“Jerebu ini dijangka berlangsung selama beberapa hari bermula semalam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, berdasarkan kepada imej satelit NOAA-20 semalam yang direkodkan oleh Asean Specialized Meteorological Centre (ASMC), tiada bilangan titik panas bagi kategori High Confidence Level direkodkan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
"Namun di Kalimantan menunjukkan 353 titik panas manakala di Sumatera terdapat 113 titik panas dikesan," katanya.
Beliau menambah, titik panas tersebut dijangka mengakibatkan jerebu di beberapa negara selatan ASEAN.
Sementara itu menurut ASMC, kepulan asap sederhana hingga tebal diperhatikan berpunca dari titik panas yang dikesan di bahagian selatan Sumatera dan ia diperhatikan bergerak ke arah barat laut.
"Berdasarkan imej satelit terkini (semalam), titik panas bertaburan dikesan di bahagian selatan Kalimantan dan Sumatera manakala beberapa titik panas dikesan di Sulawesi, Jawa dan Kepulauan Sunda Kecil.
"Di Kalimantan, jerebu asap sederhana hingga tebal diperhatikan meliputi Kalimantan Selatan dan sebahagian besar Kalimantan Tengah. Jerebu juga diperhatikan bergerak ke timur laut dan ke Kalimantan Timur," katanya.
ASMC berkata, stesen kualiti udara di bahagian selatan dan tengah Sumatera serta di Kalimantan Tengah melaporkan tahap tidak sihat.