1,871 individu ditahan dalam Op Dadu Khas di seluruh negara

KUALA LUMPUR— Seramai 1,871 individu ditahan kerana disyaki terlibat judi dalam talian dan loteri awam tanpa lesen dalam Op Dadu Khas yang dijalankan di seluruh negara pada 22 September hingga 5 Oktober lepas. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dalam tempoh yang sama, sebanyak 1,785 serbuan dijalankan di seluruh negara bagi membanteras aktiviti jenayah itu.

“Menerusi operasi itu, polis telah merampas wang tunai, kelengkapan komputer dan telefon bimbit dianggarkan bernilai lebih RM500,000 manakala bagi loteri awam tanpa lesen bernilai lebih RM600,000.


“Seramai 1,559 lelaki dan 312 wanita berusia antara 20 hingga 60 tahun ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka dan Seksyen 9(1) akta sama,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman pada Rabu.

Beliau menambah, sehingga 5 Oktober lalu sebanyak 382 kertas siasatan membabitkan judi dalam talian dan loteri awam tanpa lesen berjaya diselesaikan dan dituduh di mahkamah.

“Manakala 1,362 kertas siasatan masih dalam siasatan sementara 43 kertas siasatan dikategorikan tiada tindakan lanjut," katanya.
Next Post Previous Post