1,533 remaja hamil di Sarawak tidak bersekolah

KUCHING— Sebanyak 1,533 atau 97.1 peratus daripada keseluruhan 1,599 kes kehamilan remaja di Sarawak bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, melibatkan mereka yang tercicir persekolahan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Sri Fatimah Abdullah turut mendedahkan daripada jumlah itu, 60.5 peratus atau 967 melibatkan kes hamil luar nikah.

“Sebanyak 95.5 peratus atau 1,527 daripada jumlah kes keseluruhan melibatkan remaja berumur 16 tahun dan ke atas, manakala 4.5 peratus atau 72 remaja bawah umur 16 tahun.

“Kehamilan remaja daripada jumlah kes baharu antenatal pula adalah sebanyak 6.24 peratus,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat One Stop Teenage Pregnancy Committee (OSTPC) di Wisma Bapa Malaysia pada Selasa.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan kes kehamilan remaja menunjukkan peningkatan empat peratus berbanding 1,536 bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Fatimah berkata, Kapit mencatat peratus tertinggi remaja hamil mengikut bahagian membabitkan 11.34 peratus diikuti Sri Aman (9.34 peratus) dan Betong (8.57 peratus).

Manakala Sarikei (8.18 peratus), Serian (7.33 peratus), Bintulu (7.17 peratus), Sibu (6.61 peratus), Miri (6.2 peratus), Limbang (5.56 peratus), Kuching (4.95 peratus), Mukah (4.69 peratus) dan Samarahan (4.53 peratus).

“Sepanjang tahun ini, sebanyak 554 kes remaja hamil yang menghadapi isu-isu kebajikan, perundangan, dokumen pengenalan diri, persekolahan, perlindungan dan sokongan, dan kesihatan ibu remaja dan anak yang dilahirkan telah dirujuk ke peringkat OSTPC bahagian masing-masing untuk ditangani secara bersepadu mengikut Panduan Pengurusan Remaja Hamil di Sarawak.

“Daripada jumlah kes tersebut, 71.84% atau 398 kes telah dapat diselesaikan sepenuhnya dan ditutup manakala 1.26% (7 kes) tidak dapat diselesaikan sepenuhnya dan ditutup; dan 26.89% (149 kes) masih dalam proses penyelesaian,” katanya.
Next Post Previous Post