14 Aku Janji GPS Untuk Rakyat Jepak
BINTULU-- Gabungan Parti Sarawak (GPS) menggariskan 14 Teras Aku Janji dan komitmen yang terkandung dalam Manifesto GPS sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak yang dilancarkan hari ini.
Timbalan Premier selaku Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ia adalah tekad untuk memastikan kesinambungan pembangunan prasarana dan pembangunan sosioekonomi yang akan meningkatkan taraf hidup penduduk di situ.
Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan itu menambah dengan mandat daripada rakyat dan pengundi di Jepak, GPS berjanji dan bertekad untuk terus melaksanakan lebih banyak inisiatif dan projek pembangunan.
"Ini bagi meningkatkan kemajuan, kemakmuran, kesejahteraan dan kegemilangan penduduk di Jepak dan di Sarawak pada amnya.
"14 Aku Janji dan komitmen yang terkandung dalam manifesto ini adalah tekad untuk memastikan kesinambungan pembangunan prasarana dan pembangunan sosioekonomi yang akan meningkatkan taraf hidup penduduk di sini.
"Kami berjanji dan komited untuk melaksanakan 14 teras selari dengan pembangunan Sarawak sebagai wilayah maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Manifesto GPS di sini hari ini.
Jelas Awang Tengah Manifesto GPS untuk PRK Jepak memberi tumpuan kepada aspek pembangunan di kawasan tersebut.
Katanya, menerusi manifesto ini GPS mengemukakan perancangan untuk masa depan dan projek yang akan dilaksanakan di kawasan Jepak.
Mengulas lanjut 14 Teras Aku Janji dalam Manifesto GPS itu, Awang Tengah berkata: Teras 1, menjamin kestabilan dan kekuatan politik Sarawak; Teras 2 memelihara kedaulatan dan menjaga keselamatan Sarawak; Teras 3 memperkasa perkhidmatan kerajaan yang cekap berteraskan integriti dan tadbir urus yang baik.
"Teras 4 menyediakan infrastruktur asas jalan raya, pelabuhan dan lapangan terbang; Teras 5 memperluas liputan dan kualiti bekalan air dan elektrik, menara dan perkhidmatan telekomunikasi serta internet; Teras 6 mentransformasikan kawasan Jepak dan membangunkan bandar satelit Jepak.
"Teras 7 mengiktiraf tanah hak adat bumiputera (NCR) dan meneruskan usaha pengukuran tanah; Teras 8 menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat DUN N67 Jepak, memperbanyak skim penempatan semula dan pembesaran kampung, baik pulih rumah dan bantuan pembinaan rumah panjang.
"Teras 9 membangunkan modal insan melalui pendidikan dan latihan teknikal vokasional berkualiti; Teras 10 memperluas akses dan kualiti perkhidmatan kesihatan; Teras 11 merancakkan pembangunan sektor pertanian, pembuatan, perkhidmatan, pelancongan dan industri kreatif untuk memacu ekonomi DUN N67 Jepak;
"Teras 12 menyediakan prasarana, geran akses pasaran dan latihan keusahawanan kepada golongan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS), peniaga serta penjaja di DUN N67 Jepak; Teras 13 melaksanakan dasar inklusif, kebebasan beragama, mengamalkan adat resam, dan kesejahteraan sosial; dan Teras 14 memastikan penyertaan aktif golongan muda dalam pembangunan di Jepak," jelasnya.
Beliau menegaskan Manifesto GPS ini adalah sangat komprehensif, pragmatik dan realistik, meliputi pelbagai bidang demi menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat dan membangunkan masa depan kawasan Jepak dan Sarawak.
"Ini ialah komitmen dan tekad kita. Ini bukan omong kosong seperti yang dilakukan oleh calon lawan.
"Kita bukannya ‘tanam tebu di bibir’, tetapi akan pastikan aku janji dan komitmen dalam manifesto ini dilaksanakan dengan sebaik-baiknya," ujarnya.