TPM Fadillah akan bincang dengan PM Anwar realisasikan jelapang padi secara besaran di Sarawak

KUCHING: Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan permintaan Sarawak untuk mewujudkan jelapang padi secara besar-besaran di negeri ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata, pertemuan bersama PM bagi mendapatkan dana membangunkan infrastruktur asas di kawasan penanaman padi yang telah dikenal pasti oleh kerajaan Sarawak di Banting, Sri Aman.

"Kita lihat keperluan untuk membina infrastruktur asas bagi kawasan penanaman padi iaitu sistem perparitan dan tali air supaya kawasan tersebut boleh dijadikan kawasan penanaman padi.

"Saya akan balik dan berbincang dengan Perdana Menteri, Kementerian Pertanian dan Kementerian Ekonomi supaya dapat disalurkan peruntukan untuk kita melaksanakan projek ini khususnya di kawasan yang disebutkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang mahu dijadikan kawasan penanaman padi secara besar-besaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Sarawak Agrofest 2023 di Dataran Perayaan, Jalan Stadium, Petra Jaya hari ini.

Tambah Fadillah, kawasan Banting Sri Aman akan diberi keutamaan untuk projek penanaman padi secara besar-besaran tersebut.

"Banyak tempat untuk dijadikan kawasan penanaman padi dan tetapi kita lihat Sri Aman dahulu berdasarkan apa yang dikatakan Premier Sarawak.

"Bagaimanapun kita akan membuat perincian mengenainya bagi menentukan kos yang diperlukan dan akan disalurkan kepada Sarawak," jelasnya.

Terdahulu, Abang Johari memberitahu Sarawak sudah kenal pasti kawasan untuk melaksanakan projek penanaman padi secara besar-besaran di negeri ini.

Katanya, kawasan terbabit adalah di Banting, Sri Aman, Lubok Punggor di Gedong dan Tanjung Purun di Lundu.

Bagaimanapun, tegas beliau, untuk membangunkan kawasan tersebut bagi projek penanaman padi secara besar-besaran, ia memerlukan kos yang tinggi.

"Kos ini bagi membangunkan infrastruktur asas seperti sistem perparitan dan tali air di jelapang padi tersebut yang dianggarkan sekurang-kurangnya RM1 bilion bagi sesuatu kawasan penanaman padi," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sarawak Agrofest 2023 di Dataran Perayaan, Jalan Stadium, Petra Jaya hari ini.

Pada masa sama beliau memberitahu bagi kawasan Lubok Punggor, Gedong dan Tanjung Purun, Lundu juga memerlukan kos berjumlah kira-kira RM1 bilion untuk dijadikan tapak penanaman padi.

"Kawasan ini kita hendak menanam padi yang boleh dituai sebanyak tiga kali dalam masa 18 bulan.

"Secara keseluruhan (keluasan) kawasan yang terlibat untuk menanam padi di Sarawak dianggarkan sekitar 5,000 hektar," katanya lagi.

Menyentuh kawasan penanaman padi di Banting, Sri Aman Abang Johari berkata, ia akan diwartakan dan pihaknya akan melakukan pengezonan di mana kawasan terbabit disediakan infrastruktur asas bagi memudahkan usaha penanaman padi.
Next Post Previous Post