Tiga beranak rentung



Kebakaran di rumah kedai di Kota Kuala Muda awal pagi tadi. Gambar Facebook

Sungai Petani— Tiga beranak yang rentung dalam kebakaran rumah kedai di Jalan Sungai Emas, Kota Kuala Muda di sini dikatakan sempat menikmati makan malam bersama sebelum kejadian.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, mangsa dikenal pasti sebagai, Lim Yang Kooi, 66, dan isterinya, Lee Chew Fong, 61, serta ibunya, Yong Swee Lan, 92.

Linda Yee, 48, iaitu sepupu kepada Lee Chew Fong berkata, tiga beranak tersebut sempat makan malam bersama keluarga mereka di Bertam, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang malam tadi.

"Mereka kelihatan sangat seronok, tapi tak sangka itu makan malam terakhir mereka sebelum ditemui rentung dalam kebakaran awal pagi tadi," katanya lapor Harian Metro.

Menurut Linda yang mengetahui tragedi itu pagi tadi, mereka berniaga pakaian dan generasi ketiga berniaga di rumah kedai berkenaan.

Sementara itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Awang Hidzel Awang Bujang berkata, mangsa pertama ditemui pada jam 3.19 pagi di ruang tamu, manakala mangsa kedua ditimpa pintu laluan keluar dan ditemukan pada jam 6 pagi tadi.

Ketiga-tiga mayat berkenaan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut.

“Kebakaran membabitkan keseluruhan lapan unit rumah kedai itu adalah sebanyak 85 peratus. Setakat ini punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Manakala mayat ketiga ditemukan enam meter daripada mayat kedua di bahagian bawah tangga pada jam 10.15 pagi.
Next Post Previous Post