Tampar murid, guru berdepan hukuman penjara
KLANG— Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian seorang guru menampar murid lelaki tahun satu di sebuah sekolah kebangsaan di Kampung Jawa, di sini, seperti tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Beliau berkata, laporan dibuat oleh seorang wanita berusia 42 tahun bahawa anak lelakinya memberitahu ditampar oleh seorang guru.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku pada Isnin lalu, kira-kira jam 5.50 petang ketika murid berusia 7 tahun itu bersama rakan sekelasnya berada di dewan sekolah selepas selesai acara sukan.
“Guru tersebut kemudian bertanya kepada semua murid berkenaan surat pemberitahuan hari sukan yang sudah diberikan sebelum mangsa memberitahu suratnya hilang dan dipercayai dicuri oleh rakannya.
“Guru itu membuat pemeriksaan dan mendapati surat berkenaan tidak hilang sebaliknya berada dalam beg sekolahnya. Guru tersebut menegur mangsa supaya tidak menuduh orang lain tanpa bukti kukuh lalu menampar pipi kanak-kanak itu.
“Akibat ditampar, kanak-kanak itu mengalami sedikit bengkak dan tanda kemerahan di pipi kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hoong Fong berkata, polis akan merakam percakapan guru yang terlibat dan saksi-saksi yang boleh membantu siasatan.
“Kertas siasatan dalam tempoh terdekat dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
“Polis juga mengesan satu surat pemeriksaan doktor dan gambar kecederaan mangsa yang tular di media sosial,” katanya.
Gambar kredit Kosmo