Swasta bantu sekolah pedalaman Baram kuasai STEM

KUCHING— Inisiatif pihak swasta mengembangkan pembelajaran dalam bidang Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menggunakan pembelajaran jarak jauh di sembilan sekolah menengah di pedalaman Baram mendapat pujian daripada kerajaan negeri.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha ini amat wajar dalam meningkatkan minat serta penguasaan pelajar-pelajar di sekolah tersebut dalam mata pelajaran tersebut.

Abang Johari berkata, beliau dimaklumkan inisiatif ini telah membuahkan hasil di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Temenggong Lawai Jau di Long San dengan peningkatan ketara dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya mahu kejayaan di sekolah ini ditiru oleh sembilan sekolah menengah lain di pedalaman Baram,” katanya.

Abang Johari berkata demikian selepas mendengar taklimat daripada wakil pihak swasta Datuk TH Tan berhubung kejayaan program itu di SMK Datuk Temenggong Lawai Jau sejak 2017 semasa semasa kunjungan hormat ke pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, pada Rabu.

Beliau menekankan keperluan untuk prestasi akademik dipantau dengan teliti serta laporan kewangan yang ketat. 

Sementara itu Tan berkata, berdasarkan pencapaian dalam Kelas 2021, 25 peratus pelajar memperoleh 4 A dan ke atas, berbanding 3 peratus dalam kumpulan tanpa mendapat tuisyen bantuan komputer.

“Perbezaan ketara secara statistik ini disahkan dalam keputusan SPM yang dikeluarkan pada bulan Jun 2022, 34 peratus pelajar memperoleh 4 A dan ke atas. Sekali lagi, hanya 3 peratus dalam Kumpulan Kawalan memperoleh 4A dan ke atas.

“Program tuisyen berbantukan komputer menggunakan perisian "Khan Academy" yang terkenal di dunia di mana pelajar melalui kurikulum Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris yang diperakui oleh Lembaga Kolej ISA,” katanya.

Beliau melancarkan pelan induk untuk menggunakan versi "Khan Academy" untuk meningkatkan pembelajaran jarak jauh yang digabungkan dengan sambungan internet menggunakan satelit Starlink.

“Kami telah menubuhkan Yayasan Hornbill untuk melaksanakan pelan induk ini. Pemilihan nama Hornbill menunjukkan matlamat untuk menggunakan mod pembelajaran jarak jauh ini di seluruh Sarawak selepas ujian di kawasan Baram membuahkan hasil,” katanya.

Gambar Jabatan Premier Sarawak
Next Post Previous Post