Suspek bunuh budak diberkas

Lahad Datu—Lelaki yang dipercayai menetak mati kanak-kanak lelaki di perumahan pekerja Felda Sahabat 30, di sini ditahan polis selepas 12 jam diburu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, Paulus Poka Lolo, 33, ditahan sepasukan polis bantuan Felda di dalam kawasan blok 12 ladang FGV PM Sahabat 41, di sini, jam 7 pagi.

Katanya, susulan kejadian bunuh itu, pihak polis bantuan telah mempertingkatkan rondaan di kawasan tersebut.

"Suspek kemudian berjaya dikesan dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut dan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu telah menahan suspek.

“Soal siasat mendedahkan lokasi senjata berupa parang yang digunakan oleh suspek ketika kejadian dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) IPD Lahad Datu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar beliau, polis menemui dan merampas sebilah parang berukuran 0.5 meter di kawasan semak tepi jalan Ladang FGV PM Sahabat 41.

"Jarak dari lokasi kejadian ke lokasi tangkapan dianggarkan dua kilometer manakala jarak dari lokasi kejadian ke lokasi senjata ditemui hampir 2.5 kilometer.

"Jarak dari lokasi tangkapan ke lokasi senjata parang ditemui dalam anggaran 500 meter," katanya.

Rohan berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Lahad Datu esok bagi permohonan reman untuk melengkapkan siasatan.

"Polis percaya dengan tertangkapnya suspek ini dan rampasan terhadap senjata yang digunakan, kes ini dianggap selesai.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Dalam kejadian 7.30 pagi semalam, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut ditetak oleh suspek iaitu rakan kepada bapa tiri mangsa di halaman rumahnya di perumahan pekerja Felda Sahabat 30.
Next Post Previous Post