Suri rumah di Limbang rugi RM5 ribu diperdaya scammer


LIMBANG -- Seorang suri rumah di Limbang berputih mata apabila kerugian RM5,000 selepas diperdaya scammer yang menyamar sebagai pegawai bank baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot berkata wanita berusia 51, itu menerima panggilan daripada pegawai bank dan polis mendakwa mendiang suami mangsa ada tunggakan sewa beli kenderaan bernilai RM56,000.

“Mangsa telah diperdaya dengan suspek dengan mengarahkan mangsa membuat pembayaran sebanyak RM5,000 supaya kes tidak dibawa ke mahkamah.

“Mangsa telah membuat dua transaksi pembayaran sebelum menyedari dirinya ditipu dan tampil membuat laporan polis,”katanya kepada media hari ini.

Parum dalam pada itu menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan muslihat dan tipu helah pihak tertentu tanpa membuat usul periksa.

“Orang ramai perlu bertanya dulu kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan orang lain sebelum membuat pembayaran ataupun menekan link tertentu,”ujarnya lagi.

Bagi mendapatkan nasihat atau menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes-kes jenayah komersil boleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang ditalian 085-211466.
Next Post Previous Post