Sri Aman, Gedong dan Lundu lokasi dikenal pasti sebagai kawasan penanaman padi secara besar-besaran- Abang Johari

Gambar Credit UKAS

KUCHING: Sarawak sudah kenal pasti kawasan untuk melaksanakan projek penanaman padi secara besar-besaran di negeri ini, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya, kawasan terbabit adalah di Banting, Sri Aman,  Lubok Punggor di Gedong dan Tanjung Purun di Lundu.

Bagaimanapun, tegas beliau, untuk membangunkan kawasan tersebut bagi projek penanaman padi secara besar-besaran, ia memerlukan kos yang tinggi.

"Kos ini bagi membangunkan infrastruktur asas seperti sistem perparitan dan tali air di jelapang padi tersebut yang dianggarkan sekurang-kurangnya RM1 bilion bagi sesuatu kawasan penanaman padi," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sarawak Agrofest 2023 di Dataran Perayaan, Jalan Stadium, Petra Jaya hari ini.

Tambah Abang Johari, jika tiada parit dan tali air, penanaman padi berkenaan tidak akan efektif.

Pada masa sama beliau memberitahu bagi kawasan Lubok Punggor, Gedong dan Tanjung Purun, Lundu juga memerlukan kos berjumlah kira-kira RM1 bilion untuk dijadikan tapak penanaman padi.

"Kawasan ini kita hendak menanam padi yang boleh dituai sebanyak tiga kali dalam masa 18 bulan.

"Secara keseluruhan (keluasan) kawasan yang terlibat untuk menanam padi di Sarawak dianggarkan sekitar 5,000 hektar," katanya lagi.

Selain itu, beliau berkata, Sarawak juga mempunyai kawasan untuk penanam padi bukit iaitu di kawasan Baram, Miri.

Menyentuh kawasan penanaman padi di Banting, Sri Aman Abang Johari berkata, ia akan diwartakan dan pihaknya akan melakukan pengezonan di mana kawasan terbabit disediakan infrastruktur asas bagi memudahkan usaha penanaman padi.
Next Post Previous Post