Simbah cat demi upah RM300, empat pemungut hutang Ahlong dicekup

SIBU-- Polis berjaya menumpaskan kumpulan yang bekerja sebagai pemungut hutang pinjaman wang tanpa lesen atau "Along" di daerah Sibu dengan tertangkapnya empat suspek baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, keempat-empat suspek merupakan lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 40 tahun ditangkap pada 22 Septemer lalu sekitar jam 8.50 malam di Lorong Lada 3, Jalan Lada, Sibu.

"Sepasukan polis diketuai Inspektor Lim Chin Leong dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Sibu dan anggota Balai Polis Lanang semasa menjalankan tugas rondaan cegah jenayah telah menahan sebuah kereta jenis Proton Wira bewarna coklat yang dinaiki oleh suspek dalam keadaan mencurigakan. 

"Suspek-suspek telah diperiksa dan hasil pemeriksaan ke atas kenderaan yang dinaiki telah menjumpai dua botol yang berisi cecair dipercayai cat berwarna merah dan satu rantai pengunci yang diletakkan di hadapan penumpang hadapan. 

"Pemeriksaan lanjut ke atas badan suspek telah menjumpai beberapa barang yang mencurigakan antaranya adalah tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama dan dua keping kertas tertulis nota ugutan yang di simpan di dalam beg sandang," katanya pada sidang media hari ini.

Jelasnya, kesemua suspek dan barang rampasan kemudian dibawa balik ke balai polis untuk siasatan lanjut.

"Hasil siasatan lanjut mendapati, suspek-suspek ini mengaku bekerja sebagai pemungut hutang pinjaman wang tanpa lesen (Along) daripada seorang lelaki dikenali nama "AKMAL" dengan upah RM300 bagi setiap satu tugas yang dijalankan.

"Modus operandi menjalankan kerja menghantar nota ugutan dan simbah cat ke alamat peminjam yang gagal menjelaskan hutang yang dipinjam oleh peminjam melalui aplikasi Facebook," jelasnya.

Tegasnya, dengan tertangkapnya keempat-empat suspek tersebut, pihak polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya sembilan kes ugutan jenayah dan khianat di sekitar daerah Sibu. 

Tambahnya, dua kes melibatkan jenayah komersial yang di siasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (APPW) yang boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM250,000 tetapi tidak lebih daripada RM1 juta atau dipenjara untuk selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Manakala jelasnya lagi tujuh kes melibatkan ugutan jenayah dan khianat yang di siasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman pemenjaraan selama tempoh yang tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada lima tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar orang ramai tidak membuat pinjaman melalui pemberi pinjam wang tanpa lesen ataupun atas talian.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan sebarang kejadian jenayah boleh berhubung dengan balai polis berhampiran atau boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sibu di talian 084-364373 bagi membantu siasatan," ujarnya.
Next Post Previous Post