Sasar wanita tempat jadi isteri untuk "kekal" di Malaysia, sindiket seludup Pakistan tumpas
KUALA LUMPUR-- Sindiket penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari Pakistan yang didalangi lelaki warganegara berkenaan, menyasarkan wanita warga tempatan untuk dijadikan isteri di negara ini.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata, dalang utama sindiket ini adalah merupakan lelaki Pakistan dan pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang Suami Kepada Warganegara.
"Manakala transporter yang juga merupakan lelaki Pakistan dan pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang masih sah laku.
"Sindiket ini dipercayai aktif sejak Mei 2022 dan siasatan awal mendapati pihak sindiket menguruskan penyeludupan PATI berasal dari Pakistan yang cuba merebut peluang pekerjaan secara haram serta menyasarkan wanita warga tempatan untuk dijadikan isteri di negara ini," katannya dalam kenyataan semalam.
Kata Ruslin, Jabatan Imgresen Malaysia (JIM) baru-baru ini telah berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan PATI didalangi lelaki warganegara Pakistan dan menahan seramai lapan orang PATI lelaki Pakistan berumur diantara 30 hingga 50 tahun.
Jelasnya, sindiket ini telah ditumpaskan dalam satu Operasi Khas yang dikenali sebagai "OPS Gelombang IV" pada 11 September 2023 di beberapa lokasi di Kelantan.
"Operasi yang bermula pada jam 9 pagi disertai oleh sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat dengan kerjasama JIM Negeri Kelantan.
"Modus operandi sindiket adalah dengan menyeludup PATI dari Pakistan dengan menaiki pesawat dan mendarat di Thailand.
"Kemudian PATI ini akan dibawa melalui pengkalan haram melintasi sempadan Malaysia - Thailand," dedahnya.
Tambahnya, dalang sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM7,000 bagi setiap PATI untuk masuk ke Malaysia.
Katanya lagi, kesemua PATI ini kemudian akan dibawa ke destinasi tertentu di luar Kelantan seperti Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, berdasarkan maklumat hasil risikan, dua pasukan operasi telah diatur gerak ke dua lokasi berasingan.
"Pasukan pertama telah mengekori sebuah kenderaan yang digunakan sindiket untuk membawa PATI yang baru diseludup masuk.
"Pasukan operasi telah berjaya memintas kenderaan yang dinaiki oleh sindiket ini di Pasir Mas dan menahan tiga orang lelaki Pakistan yang yang terdiri daripada transporter dan PATI yang diseludup masuk," katanya,
Pasukan kedua pula, katanya telah melakukan serbuan di sebuah premis kediaman di Pasir Tumboh, Kota Bharu yang disyaki dijadikan tempat transit PATI dan berjaya menahan seramai lima orang lelaki Pakistan termasuk dalang utama sindiket ini.
Menurutnya, pasukan operasi turut merampas wang tunai sebanyak RM2000, lapan naskah pasport Pakistan yang tidak mempunyai Cap Masuk ke Malaysia, sebuah kenderaan MPV dan sebuah kenderaan sedan yang dipercayai digunakan untuk tujuan penyeludupan.
Berikutan itu tegasnya, dalang utama dan transporter ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 manakala enam orang PATI lelaki Pakistan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.
"Mereka semua ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut dan tindakan lanjut," ujarnya.