Sarawak pertimbang bina empangan melata di Baram, Kapit
MARUDI— Sarawak mempertimbang untuk membina empangan elektrik hidro bertingkat atau melata di beberapa sungai termasuk Baram dan Kapit.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara tersebut telah pun dibincangkan dengan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
“Kerajaan mempunyai perancangan untuk memanfaatkan sumber sungai untuk menghasilkan kuasa, sama seperti di negara Sweden yang merupakan pengeksport tenaga terbesar di benua Eropah.
“Penjanaan elektrik Sweden dilakukan menerusi empangan melata di sungai yang mampu menjana 14,000 megawatt.
“Kita memiliki banyak sungai yang boleh dimanfaatkan dengan teknologi baharu untuk menjana tenaga hidro, sebagai contoh di Kapit dan Baram,” katanya pada Majlis Perasmian Regata Baram di Marudi Waterfront hari ini.
Sementara itu Abang Johari berkata, Sarawak berkemampuan untuk membiayai pelbagai projek pembangunan infrastruktur di negeri ini hasil peningkatan pendapatan.
Beliau berkata pada tahun 2022 pendapatan negeri hampir mencecah RM12 bilion iaitu bertambah dua kali ganda hasil keras kerajaan.
“Saya kerja kuat dan peruntukan negeri kita dah bertambah. Bermakna sudah ada pendapatan untuk kita agih balik kepada rakyat menerusi pembangunan yang lebih bermanfaat.
“Hasil peningkatan pendapatan ini membolehkan kerajaan melaksanakan pembangunan prasarana di Marudi melalui pembinaan hotel bertaraf 3 bintang, Jambatan Marudi merentangi Batang Baram selain jalan raya dari Marudi sehingga ke Limbang melalui Long Melinau, Long Terawan sehingga ke Lebuhraya Pan Borneo di Limbang,” katanya.
Abang Johari berkata, Rome bukan dibina dalam sehari maka pembangunan Baram pun begitu, harus dimulakan walaupun ia mengambil masa yang panjang.
“Justeru itu kita bangunkan infrastruktur jalan raya agar kawasan Baram khususnya Marudi saling berhubungan dengan bahagian-bahagian lain di Sarawak.
“Kerajaan sudah meluluskan peruntukan bagi membiayai pembinaan jalan menghubungkan Marudi ke Mulu melalui Long Terawan seterusnya ke kawasan tinggi (Gunung Buda) dan keluar ke Limbang dan Lebuhraya Pan Borneo,” katanya.
Tambahnya, kawasan ini mempunyai khazanah yang diiktiraf UNESCO iaitu Taman Negara Gunung Mulu yang dapat menarik ramai pelancong.
“Sebab itu, kita sudah ada hotel di Mulu, kita juga hendak membangunkan hotel di Marudi,” katanya.