Sarawak minta wakil dalam Majlis Tenaga Negara

KUCHING-- Sarawak mahu mempunyai wakil dalam Majlis Tenaga Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak telah meminta untuk dipertimbangkan dalam majlis tersebut.

"Kita telah minta supaya kita (Sarawak) dipertimbangkan sebagai ahli dalam Majlis Tenaga Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

"Majlis ini akan mengubal dasar tenaga untuk seluruh negara dan Sarawak adalah satu wilayah yang telah mengutamakan kepada sumber tenaga mesra alam iaitu tenaga hijau," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Konvensyen Khas PBB 2023 Sempena 60 Tahun Sarawak Merdeka Zon Kuching di HIKMAH Exchange Kuching di sini hari ini.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu berkata, Sarawak juga mempunyai teknologi dan cara sendiri untuk memproses karbon bagi mengeluarkan tenaga yang boleh diperbaharui.

"Kita mempunyai teknologi kita sendiri dan cara kita untuk memproses karbon dan untuk kita mengeluarkan tenaga yang boleh diperbaharui.

"Sama ada daripada hidro, solar, angin dan juga hidrogen dan baru-baru ini kita telah mempunyai pendekatan baharu menggunakan biomas khasnya palet kayu untuk kita menjana tenaga ," tambahnya.

Malah, beliau memberitahu, Perdana Menteir juga telah mengarahkan Kementerian Ekonomi untuk melantik Sarawak dalam Majlis Tenaga Negara.

Katanya, majlis tersebut baharu ditubuhkan di peringkat persekutuan yang berteraskan Program Peralihan Tenaga.

"Kita akan menjadi ahli (dalam Majlis Tenaga Negara) dan ini sudah dipersetujui Perdana Menteri dan Menteri Ekonomi," ujarnya lagi.

Gambar Kredit FB Fadillah Yusof
Next Post Previous Post