Sarawak keluarkan makanan haiwan berkualiti guna sisa biomas sawit
Kerajaan telah meluluskan tanah seluas 10 ekar di Samarahan untuk menghasilkan makanan haiwan dan baja- Premier Abang Johari / Gambar ihsan UKAS |
KUCHING— Sarawak bakal mengeluarkan sendiri baja dan makanan haiwan menggunakan sisa biomas kelapa sawit melalui kerjasama dengan Kolej Universiti i-CATS (i-CATS), kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak berkata, langkah ini dapat membantu sektor pertanian negeri kerana tidak perlu bergantung dengan import makanan dan baja dari luar negara yang mahal.
“Saya sudah berbincang dengan i-CATS untuk menghasilkan makanan haiwan dan baja berkualiti memandangkan Sarawak kaya dengan bahan mentah biomas seperti sisa sawit dan kelapa.
“Kerajaan telah meluluskan tanah seluas 10 ekar di Samarahan untuk menghasilkan makanan haiwan dan baja. Kita juga mempunyai makmal di lokasi yang sama yang akan diuruskan oleh i-CATS,” katanya berucap pada ‘Digital Transformation Via Accelerated Applications’ di Kuching, hari ini.
Abang Johari turut berkongsi kejayaan seorang graduan doktor falsafah (PhD) yang berjaya meningkatkan berat badan haiwan ternakan dari 14 kilogram (kg) ke 50 kg menggunakan makanan yang diproses daripada sisa biomas.
“Justeru ia telah terbukti dan kita dapat menggunakan sisa biomas untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti haiwan ternakan.”
Beliau berkata, pihak Kolej Universiti i-CATS dipertanggungjawabkan untuk mengambil alih pusat tersebut bagi melaksanakan penyelidikan berkaitan makanan haiwan dan baja.
“Jadi apa yang saya lakukan, kita gunakan pusat ini kemudian saya berikan kepada pihak universiti untuk membuat penyelidikan bersama dengan masyarakat.
“Seperti yang kita sedia maklum kawasan Samarahan adalah merangkumi Gedong hingga ke Sri Aman.
Beliau berkata i-CATS juga akan menggunakan Pusat Penyelidikan Pertanian di Asajaya untuk menjalankan penyelidikan bersama komuniti.