RM60 juta disedia bangun mekanisasi bersesuaian teknologi penuaian sawit
KUALA LUMPUR-- Sebanyak RM60 juta disediakan bagi tujuan pembangunan mekanisasi bersesuaian terutama teknologi
penuaian sawit, kata Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.
Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, langkah itu bagi menangani isu kekurangan tenaga buruh dalam sektor perladangan sawit.
"Pelbagai usaha dan inisaitif sedang diambil oleh kerajaan untuk menangani isu kekurangan tenaga buruh dalam Sektor Sawit.
"Antaranya adalah meningkatkan mekanisasi dan automasi dalam
sektor sawit yang mana
pelbagai inisiatif telah diperkenalkan untuk
menghasilkan teknologi berdaya maju yang dapat meningkatkan adaptasi penggunaan jentera kepada golongan sasar iaitu pekebun kecil dan syarikat perladangan besar.
"Seiring dengan Dasar Agrikomoditi Negara 2030 (DAKN2030), usaha ini
telah dipertingkatkan dan diperkasa melalui penubuhan Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP)," katanya dalam jawapan perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMKe-12) di Dewan Rakyat hari ini.
Bagi tujuan ini, Fadillah berkata kerjasama pihak Kerajaan dan penggiat industri sedang dilaksanakan untuk mengenalpasti teknologi dan meningkatkan adaptasi bagi aktiviti
menuai dan mekanisasi lain berkaitan.
Oleh itu, katanya, MARCOP turut menyasarkan untuk meningkatkan
nisbah tanah kepada buruh daripada 1:9 (1 Orang : 9 Hektar) kepada nisbah 1:25 untuk jangka masa sederhana.
"Peningkatan nisbah ini boleh diperolehi jika teknologi penuaian diadaptasi dan tidak berganting kepada kaedah konvensional seperti penggunaan galah penuai," jelasnya.
Menurutnya lagi
potensi bagi rakyat tempatan terlibat sebagai penuai sawit adalah tinggi sekiranya teknologi yang betul diperkenalkan untuk meningkatkan produktiviti kerja sekaligus pendapatan rakyat.
"Pada masa ini, peralatan mekanisasi yang diterima pakai oleh pihak industri adalah mesin penuai yang dinamakan sebagai Cantas.
"Penggunaan Cantas boleh meningkatkan produktiviti sehingga 40 peratus lebih tinggi berbanding
kaedah konvensional," ujarnya.
Mengenai ancaman pihak luar terhadap industri sawit
Fadillah menegaskan, kementeriannya mengambil perhatian serius perkara tersebut dan pelbagai tindakan telah diambil bagi memastikan industri sawit tidak terjejas.
"Antara tindakan yang telah dan sedang dilaksanakan adalah mengadakan mesyuarat dua hala dengan Indonesia pada 9 Februari 2023 bagi membincangkan implikasi
pelaksanaan Eurpoean Union Deforestation Regulation
(EUDR) dan strategi kedua-dua negara dapat bersama dalam menangani impak Peraturan tersebut," ujarnya.