Rizab terkini Sarawak cecah RM40 bilion

KUCHING— Rizab terkini Sarawak mencecah RM40 bilion berbanding RM31 bilion sebelum ini, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata, prestasi cemerlang ini adalah hasil keberanian dan usaha GPS dalam meningkatkan sumber pendapatan Sarawak.

Beliau berkata,berlandaskan tema ’Utamakan Sarawak’ pimpinan telah mula memperhebatkan lagi perjuangan untuk menuntut hak Sarawak dan memperkenalkan pelbagai inisiatif dan fokus untuk melonjakkan Sarawak ke tahap yang lebih tinggi lagi. 

“Pemimpin negeri berani membawa Petronas ke mahkamah dan akhirnya berjaya mengenakan Cukai Jualan Sarawak bagi produk petroleum pada 2019 yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan.

“Pada masa yang sama, kerajaan pimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut menerokai banyak lagi sumber yang dapat menambah pendapatan,” katanya berucap pada Konvensyen Khas PBB Zon Selatan 2023 di Hikmah Exchange pada Sabtu.

Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Premier telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Digital ke arah Sarawak maju pada tahun 2030 apabila mengambil alih tampuk kepimpinan.

“Kita ada Sarawak Pay atau sekarang dikenali sebagai S-Pay bukan sahaja dapat digunakan di Sarawak, malahan di luar negara. Kita ada Sarawak ID, kita ada Bank Pembangunan Sarawak dan Petroleum Sarawak Berhad.

“Semua tok hasil dari keberanian dan kebijaksanaan pucuk kepimpinan kita,” katanya.

Selain itu kerajaan negeri turut membawa pembangunan pesat seperti jalan raya, jambatan dan kemudahan asas termasuk rangkaian telekomunikasi di seluruh Sarawak.

Kerajaan negeri juga telah melaksanakan pembangunan sosio-ekonomi dan kesejahteraan rakyat seperti dana untuk ibu selepas bersalin, dana untuk anak yang baru lahir selain Kad Emas Kenyalang untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas.

Sementara itu konvensyen tersebut diadakan sempena 60 tahun kemerdekaan Sarawak tahun ini.
Next Post Previous Post