PH tetap entiti pembangkang di Sarawak, PKR harus bertanding PRK Jepak- Tonny

KUCHING-- Parti komponen Pakatan Harapan (PH) seharusnya bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak memandangkan pakatan itu entiti pembangkang di peringkat negeri ini.

Perkara ini ditegaskan Pengerusi Cawangan DAP Jepak Tonny Ung yang mahu Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak mempertimbangkan semula keputusan mereka untuk tidak bertanding pada PRK DUN Jepak.

"Kemenjadian demokrasi matang adalah untuk meraikan dan memberikan rakyat peluang untuk
membuat pilihan di dalam peti undi. 

"Senario politik Sarawak berbeza daripada senario politik di peringkat nasional. 

"Hal ini kerana, tidak ada penubuhan kerajaan perpaduan di peringkat
negeri Sarawak seperti di peringkat nasional," tegasnya.

Malahan jelasnya, PH Sarawak yang terdiri daripada DAP, PKR dan AMANAH dilihat sebagai entiti pembangkang di peringkat negeri oleh GPS.

"Selain itu, bagi menyuburkan demokrasi di atas dasar semak dan imbang di dalam DUN Sarawak, kita tidak harus membiarkan Sarawak diperintah dengan mutlak oleh satu parti sahaja iaitu GPS. 

"Ketiadaan kestabilan politik bukan suatu masalah di Sarawak. 

"Masalah tunggak politik Sarawak adalah kekurangan semak dan imbang," katanya.

Tambah Tonny, kemenangan 76 daripada 82 kerusi DUN Sarawak oleh GPS dan selepas cadangan pengabungan PSB dan PDP telah mengurangkan bilangan pembangkang di DUN Sarawak.

"Ini telah menjejaskan peranan semak dan imbang DUN Sarawak terhadap eksekutif.

"Semak imbang ini amat penting di dalam perjalanan pentadbiran sesebuah kerajaan dan demokrasi di Sarawak," ujarnya.

Menurutnya lagi, tanpa semak imbang yang kuat, sesebuah kerajaan akan menjadi korup dan angkuh di dalam pentadbiran mereka. 

"Kita tidak mahu isu rasuah seperti kes solar oleh Jepak Holding dan lain-lain berulang lagi dan memberi kesan kepada rakyat. 

"Segala dasar diperingkat negeri harus didebatkan dan diperhalusi oleh semua pemegang taruh berkepentingan dan tidak dimonopoli oleh GPS sahaja," katanya.
Oleh yang demikian, beliau memberitahu, berdasarkan hujah yang dinyatakan di atas terdapat keperluan untuk PKR menyertai dan meraikan demokrasi pada PRK DUN Jepak yang akan datang.

"Demokrasi matang bukan langkah mengundur diri semata-mata, tetapi mendepani dan melangkah ke hadapan untuk berbeza pandangan demi rakyat," tegasnya.
Next Post Previous Post