Pesara jurutera operasi offshore rugi RM200,000 diperdaya "Dato ACP"
MIRI-- Seorang pesara jurutera operasi offshore mengalami kerugian RM200,000 setelah menjadi mangsa penipuan "phone scam".
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, mangsa berusia lewat 60-an itu tampil membuat laporan polis semalam.
"Pada 17 Ogos 2023 semasa mangsa berada di kediamannya, telah menerima panggilan dari individu yang memperkenalkan dirinya sebagai 'Dato ACP Fikri Mokhtar' dan telah membuat tuduhan terhadap mangsa ada terlibat dalam kegiatan jenayah pengedaran dadah dan pengubahan wang haram.
"Mangsa dikatakan telah menerima komisen wang berjumlah RM210,000 daripada kegiatan jenayah tersebut.
"Disebabkan itu, mangsa telah menjadi panik, cemas serta takut akan tuduhan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Azman, seterusnya mangsa telah diarahkan oleh suspek untuk memindahkan semua wang yang ada dalam akaun bank mangsa ke dalam akaun bank pihak ketiga yang
diberikan oleh suspek dengan tujuan siasatan audit Bank Negara dan AMLA bagi memastikan sama ada wang dalam akaun bank mangsa adalah haram atau pun tidak.
"Suspek telah memberi amaran kepada mangsa untuk merahsiakan perkara tersebut daripada sesiapa pun termasuk ahli keluarga sehingga siasatan selesai.
"Mangsa kemudian telah membuat 10 kali transaksi pindahan wang sebanyak lebih kurang RM200,000 secara berperingkat ke lima akaun bank yang berbeza bermula dari pertengahan bulan Ogos 2023 sehingga hujung bulan Ogos 2023," jelasnya.
Katanya lagi, mangsa menyedari dirinya ditipu setelah
menceritakan perkara tersebut kepada isteri mangsa dan tampil membuat laporan polis untuk siasatan selanjutnya.
Justeru, beliau menasihati orang ramai agar tidak melayani panggilan telefon yang tidak dikenali.
"Beritahulah pasangan, rakan atau ahli keluarga anda
tentang panggilan telefon yang diterima.
"Selain itu, orang ramai turut disarankan agar tidak mudah panik atau cemas dan takut dengan sebarang dakwaan yang dibuat ke atas diri anda jika anda tidak melakukan apa-apa kesalahan," ujarnya.