Pesara guru terpaksa balik Pahang, tiada penjamin selepas kematian isteri
KUCHING-- Menabur bakti sejak 1983 sebagai warga pendidik hingga mendirikan rumahtangga di Sarawak, Rusli Jantan kini terpaksa pulang ke Pahang selepas isteri tercintanya meninggal dunia baru-baru ini.
Hal ini disebabkan Rusli kehilangan penjaminnya (isteri) sebagai syarat untuk bermastautin di negeri ini.
Berikutan itu, ramai kenalan Rusli di sini melahirkan rasa sebak dengan apa yang menimpa beliau selepas kehilangan insan tersayang.
"Assalamualaikum dan salam sejahtera buat para kenalan, sahabat dan kaum keluarga yang berada di Pahang dan Sarawak.
"Selamat Hari Malaysia 16 September. Alhamdulillah, saya rasa amat bangga dengan negeri Sarawak, yang mana perpaduan antara kaum amat utuh.
"Suasana kehidupan di Bumi Kenyalang begitu harmoni. Tahniah buat Sarawak bumi bertuah. Saya dah bermastautin di Sarawak sejak 1983 sehingga kini.
"Saya hanya boleh menetap di Sarawak sehingga 2 April 2024. Ini disebabkan insan tercinta yang menjamin saya untuk bermastautin di Sarawak telah kembali menemui Penciptanya pada 11 Mac 2023 yang lalu," katanya dalam hantaran di Facebooknya.
Sebelum 2 April 2024, katanya, beliau akan kembali ke negeri tanah kelahirannya iaitu Pahang.
Mengulas lanjut, Rusli berkata, anak-anaknya tidak boleh menjadi penjaminnya kerana mereka buat masa ini belum mempunyai pekerjaan.
"Saya akur kerana ini adalah peraturan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Sarawak.
"Saya hormatinya demi untuk kebaikan negeri Sarawak, khas untuk rakan-rakan, anak-anak didik saya dan kaum keluarga saya yang berada di Sarawak, sekiranya saya ada melakukan sebarang kesilapan dari segi pergaulan dan tutur bicara sama ada disedari mahu pun tidak disedari saya menyusun sepuluh jari memohon ribuan kemaafan.
"Tak kenal maka tak cinta. Apa pun saya bangga bermastautin di Sarawak walaupun hanya seketika.
"Salam perpaduan buat Sarawakku Sayang. Jika diizinkan oleh Allah, Insya-Allah saya akan kembali menziarahi rakan-rakan, anak didik serta kaum keluarga di Bumi Kenyalang ini terutamanya di Kampung Belawai yang meninggalkan seribu kenangan buat diri ini.
"Selamat maju jaya Sarawak Bumi Kenyalang," ujarnya.