Pelancong China ke Malaysia bakal dikecualikan visa
PUTRAJAYA— Kerajaan kini di peringkat perancangan mendraf dasar untuk memberi pengecualian visa kepada pelancong China.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Kementerian Dalam Negeri membuat satu laporan berkenaan pengecualian visa untuk pelancong China.
“Ia bagi menentukan hari lawatan yang dibenarkan untuk berada di Malaysia melalui perkhidmatan pengecualian visa. Laporan ini dijangka siap dalam tempoh seminggu dua,” katanya dipetik Malaysia Gazette.
King Sing menambah, perkara mengenai pengecualian visa ini diutarakan oleh Perdana Menteri ketika melawat China baru-baru ini.
“Bagi saya, ia polisi yang baik untuk menarik lebih ramai pelancong China untuk melawat Malaysia. Namun saya berharap kedua-dua negara dapat melaksanakan dasar pengecualian secara serentak,’ katanya.
Selain China katanya, Perdana Menteri turut menyebut perlu menyediakan pengecualian visa untuk pelancong dari India.
King Sing sebelum ini berkata, Malaysia bakal menerima kemasukan 450,000 pelawat China selepas menandatangani perjanjian dengan dua agensi pelancongan dari negara tembok besar itu.
“Kerjasama itu turut meliputi beberapa kelonggaran yang akan ditentukan supaya kemasukan mereka lebih lancar.
“Kami berjaya menandatangani perjanjian dengan dua agensi pelancongan di China iaitu satu agensi akan membawa masuk 350,000 dan bakinya 100,000 pelawat,” katanya.