PBT diminta naik taraf kemudahan di pasar komuniti, pusat penjaja lebih mesra OKU, warga emas-Violet
KUCHING-- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending Violet Yong Wui Wui menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan kemudahan yang lebih kondusif dan mesra untuk golongan kelainan upaya (OKU) dan warga emas.
Katanya, untuk itu, PBT perlu menaik taraf kemudahan di pasar komuniti dan pusat penjaja di bawah bidang kuasa masing-masing.
"Menjadi keperluan untuk Majlis Bandaraya Kuching Utara (MBKS), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) mempertingkatkan kemudahan di pasar komuniti dan pusat penjaja untuk memberi suasana yang lebih selesa dan mesra OKU dan warga emas," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Violet, kemudahan itu seperti laluan khas kerusi roda, warga emas dan individu yang memerlukan bantuan untuk berjalan yang mengalami kesukaran ketika berkunjung di pasar komuniti dan pusat penjaja di bawah PBT.
"Mereka ini mengalami kesukaran untuk menggunakan tangga yang terdapat di pasar komuniti dan pusat penjaja PBT," tambahnya.
Memberi contoh, katanya ketika mengagihkan kek bulan kepada komuniti tempatan di Pasar Bintawa dan Pasar Komuniti Kenyalang, beliau menerima banyak maklum balas berhubung perkara tersebut.
"Penambahbaikan kemudahan pasar amat diperlukan kerana kebanyakan pengunjung yang mengunjungi pasar komuniti adalah terdiri daripada golongan warga emas yang memerlukan kemudahan yang lebih mesra untuk bergerak dan masuk ke kawasan pasar.
"Sebagai contoh, Pasar Komuniti Kenyalang ialah pasar 3 tingkat di mana tingkat bawah adalah tempat letak kereta, tingkat satu serta dua untuk bahagian sayur-sayuran, daging dan ikan.
"Untuk akses dari tempat letak kereta ke tingkat satu atau dari tingkat satu ke tingkat dua, adalah mencabar kerana tiada kemudahan mesra OKU untuk mereka yang mempunyai masalah pergerakan," jelasnya.
Justeru, beliau hairan melihat Datuk Bandar MBKS sering mengetuai pasukan melawat pasar dan pusat penjaja namun kemudahan di kebanyakan pasar dalam bidang kuasa MBKS masih lama, usang dan tidak mendapat sebarang penambahbaikan.
Malah, katanya, adalah satu kemestian bagi semua PBT untuk memasang lif, atau eskalator, serta lebih banyak pagar untuk memudahkan warga emas atau orang kurang upaya yang mengunjungi pasar atau pusat penjaja dalam bidang kuasa masing-masing.